Sebagai orang luar saya ingin memberikan cadangan kepada ahli-ahli MCA yang akan memilih kepimpinan baru pada 28 Mac ini.
Cadangan saya ialah pilihlah pemimpin baru yang tidak pernah mempunyai kontroversi dalam apa juga isu.
Kalau pemimpin tersebut didakwa dan dituduh terlibat dengan pelbagai masalah jangan pilih mereka.Namun begitu ramai mendakwa sebahagian besar pemimpin utama yang menawarkan diri untuk bertanding mempunyai masalah terutama pimpinan atasan.
Jadi kalau begitu nasihat saya ialah ahli MCA tidak perlu memilih sesiapa tetapi yang penting buat cadangan supaya MCA dibubarkan dan ahli-ahlinya ramai-ramai masuk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) atau PKR atau DAP.
Pakatan Rakyat boleh dijadikan sandaran untuk mereka memperjuangkan hak masing-masing.
Apa lagi yang hendak mereka perolehi dari MCA jika semua pimpinan parti itu hanya mementing diri dan pangkat semata-mata.
Tidak ada gunanya berjuang dalam parti yang jijik, kotor dan korup. Lebih baik kita membuat anjakan paradigma untuk memastikan perjuangan kita berada di landasan yang benar demi kepentingan negara dan rakyat jelata.
Kita lihat kerajaan BN yang didokong oleh MCA ditunjangi oleh Umno juga bermasalah.
50 tahun lebih mereka memerintah, BN masih mengamalkan cara politik lama iaitu menggunakan asas perkauman untuk mendapatkan sokongan.
Sedangkan rata-rata rakyat bercakap tentang politik baru iaitu melampaui sempadan perkauman, bangsa, ideologi dan agama.
Parti-parti politik yang berjuang atas asas perkauman seperti Umno, MCA dan MIC sewajibnya dibubarkan kerana merekalah selama ini menanamkan bibit-bibit perkauman yang menyebabkan semangat ini terus menebal di kalangan rakyat.
Jadi sudah sampai masanya ahli MCA membubarkan parti itu pada 28 Mac ini sebagai perintis kepada pembubaran parti-parti perkauman sempit lain seperti Umno dan MIC.
Selain itu keputusan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting bertanding jawatan Presiden MCA membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa parti itu ketandusan pemimpin berkaliber.
Keputusan tersebut dilihat benar-benar memberikan tamparan hebat kepada MCA yang gagal menyelesaikan kemelut politik dalaman parti sejak sekian lama.
Kepimpinan Datuk Seri Ong Tee Keat ternyata tidak dihormati oleh pimpinan pusat dan negeri serta juga ahli bawahan.
Apa juga keputusan yang dibuat oleh Tee Keat ditentang secara terang-terangan ataupun secara senyap.
Keputusan sebahagian besar jawatankuasa pusat (CC) yang terpaksa meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan semula merupakan langkah terakhir kerana semua keputusan sebelum itu tidak dituruti oleh Jawatankuasa Pusat (CEC).
Jelas sekali tidak ada seorang pun pemimpin yang mampu menyatupadukan MCA hatta campurtangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri tidak mampu menyelesaikan masalah ini.
Akhirnya MCA terpaksa mencari jalan lain iaitu meminta bekas presidennya, Ka Ting keluar dari 'persaraan' dan kembali menyingsing lengan di gelanggang politik.
Rakyat melihat senario ini dari dekat dan mereka sudah tentu dapat menafsirkan situasi ini.
Antara lain rakyat melihat bahawa sebahagian besar kepimpinan MCA yang ada sekarang lebih mementingkan pangkat, kedudukan dan kuasa dari kepentingan negara dan rakyat.
Masing-masing mahu menjadi Presiden. Sebab itu mereka tidak boleh berdamai, asyik mencari kesalahan orang lain untuk menjahanamkan antara satu sama lain.
Kemelut ini saya kira sukar untuk diselesaikan hatta kemenangan berpihak kepada Ka Ting sekalipun.
Kepada rakyat semua, lihatlah bagaimana gelagat pemimpin BN dan parti komponennya. Mereka meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan rakyat dan negara.
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka
