Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya amat merasa kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal pada 17 Mac 2010 apabila beliau memberitahu pemberita, kedatangan masyarakat kami itu hanya untuk melawat Putrajaya dan berseronok-seronok.

Beliau juga menyatakan bahawa pihak kerajaan telah menghabiskan RM400 juta setahun bagi tujuan membangunkan masyarakat Orang Asli. Jika benar sepertimana yang beliau nyatakan, pastinya Orang Asli sudah banyak yang kaya-raya, tidak lagi daif seperti sekarang.

Perkara sebegini jelas memperkecil atau mempersendakan tuntutan kami, sedangkan tujuan utama kami adalah untuk menghantar Memorandum Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) dan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) yang dihadiri lebih 2,000 Orang di Putrajaya pada 17 Mac - mewakili lebih 150,000 Orang Asli yang ada di negara ini, bagi membantah Dasar Pemberimilikan Tanah, yang telah diluluskan oleh Majlis Kanun Tanah Negara pada 4 Disember 2009.

Di mana keseluruhan kandungan dasar ini jelas bercangah dengan Perlembagaan Negara, terutama sekali di (l) yang menyatakan “Ketua Isi Rumah atau KIR Orang Asli yang mendapat faedah dari Dasar ini, tidak boleh menuntut apa-apa pampasan, gantirugi atau membawa sebarang tuntutan ke mahkamah ke atas tanah yang dinamakan kawasan rayau/saka atau dalam erti kata yang lebih tepat lagi wilayah adat. Sedangkan mereka yang menangkap binatang di hutan pula boleh didakwa di mahkamah.

Di sini jelas bahawa pihak kerajaan lebih berminat melindungi binatang dengan mewartakan kawasan perhilitan, daripada mewartakan wilayah adat dan menjaga kebajikan Orang Asli.

Draf dasar ini juga digubal dan diluluskan tanpa mengambil kira sensitiviti kaum yang disasarkan, sedangkan masyarakat kami amat memerlukan tanah dan sumber-sumber dari hutan bagi meneruskan amalan agama, adat resam dan budaya.

Oleh itu, di sini saya ingin mengambil kesempatan meminta kepada Datuk Seri Shafie Apdal supaya memohon maaf secara terbuka kepada semua masyarakat Orang Asli melalui media elektronik mahu pun media cetak di atas kesilapan beliau bagi mengelak persepsi lebih buruk lagi terhadap Kerajaan.

Penulis adalah daripada Jaringan Kampung Orang Asli Sungai Mai (JKOASM) mewakili JKOAPahang.

ADS