Kementerian kewangan dan Bank Negara Malaysia perlu menjelaskan kepada orang ramai berhubung laporan yang bertentangan mengenai cadangan Faedah Kematian dan Kecederaan Tubuh Pihak Ketiga (TPBID) yang akan menggantikan insurans kecederaan pihak ketiga.

Bank Negara berkata bahawa polisi TPBID masih belum diputuskan secara muktamad dan menjemput orang ramai untuk memberikan maklum balas berhubung perkara itu. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) juga turut memberikan ulasan pada 14 Mei 2010.

Satu lagi laporan media yang memetik seorang pegawai dari Kementerian Kewangan berkata TPBID akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan. Skim itu dilaporkan akan dijalankan bersama antara kerajaan dan pihak dalam industri insurans.

CAP membantah dengan sekeras-kerasnya pelaksanaan cadangan TPBID memandangkan ia tidak berbeza daripada sistem yang digunakan sekarang di mana pampasan bagi mangsa bergantung kepada pembuktikan kesalahan.

Kebanyakan daripadanya dibuat untuk membantu mengurangkan kerugian yang dialami syarikat insurans untuk polisi kenderaan pihak ketiga.

Gesaan oleh kumpulan tertentu untuk mengekalkan sistem yang sedia ada tidak mengambilkira ketidakadilan yang dilakukan kepada mangsa kemalangan dan sebahagian besarnya didorong oleh kepentingan kumpulan mereka sendiri. Kerajaan seharusnya tidak melayan gesaan itu.

Memandangkan kelemahan yang serius dalam sistem pada masa ini dan dalam cadangan TPBID berasaskan kesalahan seluruhnya perlu dihapuskan. Daripada membuang masa, usaha dan wang untuk menentukan siapakah yang bertanggungjawab dan siapa yang tidak, kita seharusnya menumpukan kepada pampasan dan pemulihan kepada semua.

Menjadi tanggungjawab masyarakat untuk membantu mereka yang cedera daripada kemalangan melibatkan kenderaan bermotor bagi membolehkan mereka kembali menyumbang kepada masyarakat. Kegagalan kita untuk melakukan perkara ini akan melibatkan kos kepada ekonomi negara kita.

CAP percaya bahawa pengenalan sistem liabiliti tanpa kesalahan (NFL) perlu menggantikan sistem pada masa kini.

Pada hakikatnya, cadangan NFL ini telah dibuat beberapa tahun yang lalu. Pada 1995, allahyarham Tan Sri Datuk Harun Hashim, bekas hakim mahkamah agung mencadangkan pengenalan skim tanpa kesalahan untuk membuat tuntutan berhubung kecederaan tubuh dan kematian akibat daripada kemalangan kenderaan bermotor.

Pada Ogos 2007, pejabat peguam negara mengeluarkan kertas awal yang mencadangkan Skim Liabiliti Tanpa Kesalahan (NFL) diperkenalkan. Kertas itu menggariskan beberapa alasan kenapa NFL diperlukan. Beberapa pertemuan diadakan dengan kumpulan yang berkepentingan tetapi malangnya tiada hasil.

CAP telah menyerahkan memorandum berhubung cadangan NFL kepada Bank Negara. Cadangan kami berdasarkan prinsip berikut:

- Pampasan yang cukup, cekap dan cepat untuk mangsa kemalangan kenderaan bermotor tanpa memerlukan litigasi atau penyelesaian pertikaian berhubung isu kesalahan;

- Pemulihan dan penjagaan sepanjang hayat untuk mangsa dengan kecederaan serius dan sokongan untuk tanggungan si mati.

- Strategi pencegahan kemalangan yang berkesan.

- Kos pentadbiran yang rendah supaya lebih banyak dana diperolehi untuk mangsa kemalangan jalan raya.

Skim NFL yang berkesan boleh dilihat daripada kejayaan skim PERKESO yang diperkenalkan pada 1974 untuk kebajikan pekerja.

Di bawah PERKESO, pekerja yang cedera diberikan pampasan tanpa perlu membuktikan kesalahan. Piagam PERKESO memperuntukkan bahawa sebaik sahaja menerima semua maklumat dan dokumen yang lengkap bayaran faedah akan dibuat seperti berikut:

- Dalam tempoh 7 hari bagi kecacatan sementara.

- Dalam tempoh 14 hari bagi faedah kecacatan kekal, faedah tanggungan si mati, pencen olat dan pencen hidup.

- Dalam tempoh 3 hari bagi faedah pengkebumian.

Kos pentadbiran PERKESO adalah rendah iaitu 9.15% daripada caruman pada 2006 dan 9.79% pada 2007. Oleh itu di bawah PERKESO hampir 90% daripada caruman yang diterima dibelanjakan untuk kebajikan pekerja.

Berbanding dengan sistem kemalangan kenderaan bermotor sekarang, di mana 20% daripada premium yang diperolehi adalah untuk syarikat insurans sebagai perbelanjaan pengurusan; dan 10% untuk ejen sebagai bayaran komisen. Daripada baki 70%, 30% atau lebih untuk peguam dan hanya 40% atau kurang untuk mangsa.

PERKESO juga telah mengambil langkah untuk mengurangkan bilangan kemalangan. Hasil daripada langkah mencegah kemalangan yang diambil, bilangan kemalangan telah menurun kepada 3.4% pada 2007.

Di Victoria, Australia skim NFL-nya amat berjaya (dilaksanakan pada 1980-an) juga menghasilkan pengurangan yang drastik dalam kemalangan dan tuntutan untuk pampasan.

Kematian menurun daripada 776 kes pada 1989 kepada 337 kes pada 2006 dan 290 pada 2009. Dalam tempoh 10 tahun bilangan tuntutan bagi pampasan telah jatuh kepada 38,000 menghasilkan penjimatan lebih daripada AUD1 bilion.

Kejayaan PERKESO bermakna skim NFL juga berdaya maju kerana dengan pengurusan yang cekap dan cermat, aset PERKESO telah meningkat kepada lebih RM15 bilion.

CAP sekali lagi mengulangi bahawa sudah tiba masanya untuk mereformasikan skim pampasan kemalangan di negara ini. Skim tanpa kesalahan merupakan sistem yang baik untuk Malaysia melaksanakannya dan malah ia pada hakikatnya telah diamalkan di banyak negara maju.

Malaysia pada hakikatnya telah mengamalkan skim tanpa kesalahan selama hamper 40 tahun dalam skim PERKESO. Oleh sebab itu sumber manusia dan sokongan teknikal tidak menjadi masalah kerana ia sudahpun sedia ada.

Tiada gunanya untuk mempertimbangkan sistem lain. Kerajaan perlu menerima sistem tanpa kesalahan dan melantik jawatankuasa peringkat tertinggi untuk melaksanakannya dan menubuhkan mekanisme untuk memperkenalkan skim itu di Malaysia.


SM Mohamed Idris merupakan Presiden Persatuan Pengguna Pengguna Pulau Pinang (CAP).