• Doa damai buat agamaku dan agamamu
  • Pak Sako
  • 1284016348
  • "Ahli Parlimen Serdang terharu dengan sokongan orang Islam, tetapi tidak akan memeluk Islam."

    - Ulasan Teo Nie Ching pada September 4 berkait isu memasuki surau Al-Huda di Kajang, Selangor.


    Suatu siang di rumah ibadatku
    Sepasang tamar telapak tanganku
    Bertemu tenang sedengar berita itu
    Dan berdoalah aku dan begini ku berdoa:

    Andai kubenarkan anak-anak Yesus
    Krishna dan Budha mengisi ruang masjidku
    Biarlah atas nama kasih dan kerana ikhlas
    Sesungguhnya itu ajaran Dia kepadaku

    Maka ku turunkan layar harapanku
    Untuk mengaut untung syurga untukku sekaligus kamu
    Setentunya Yang Esa tidak sia mencipta
    Kebenaran yang satu dalam beraneka rupa

    Kini bila ku bersujud di rumah ibadatku
    Kusedar kau berbuat sama di rumah ibadatmu
    Tepatkah perintah yang alim dan yang ulama
    Cara dan keimanan kau tak diredha oleh Yang Esa?

    Ini akan aku putuskan dengan sendiri

    Namun pasti kan ku pelawa kau ke tempat suciku nanti
    Dan bersolatlah kami, kau dengan caramu
    Pelawalah juga kau aku ke tempat sucimu nanti
    Dan bersolatlah kami, aku dengan caraku

    Mari kau kenali damai
    Di sebalik dinding-dindingku
    Dan perkenalkanlah aku pada damai
    Di sebalik dinding-dindingmu

    Janganlah kau berfikir aku memperaga caraku
    Dan tak kan ku prasangka kau mempamer imanmu
    Usah ku ubah cara kau dan kau cara aku
    Izinkan damai menyemarak mekar menyatupadu.