Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Angin bertiup kencang bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi, lantas memberikan peluang kepada seluruh warga Malaysia bagi sekali lagi membuat pilihan dalam sistem demokrasi bagi memilih kerajaan yang akan memimpin dan menerajui kerajaan untuk tempoh lima tahun berikutnya.

 

Pilihan raya memang ditunggu-tunggu oleh mereka yang komited dalam memainkan peranan sebagai pengundi, demi memastikan negara dikepalai oleh kerajaan yang bertanggungjawab, seiring dengan hasrat bagi mewujudkan negara yang maju dalam semua lapangan, yakni jasmani, akli dan rohani

 

Namun bagaimanakah caranya bagi menilai keberkesanan ataupun kemampuan sesebuah kumpulan ataupun pakatan politik bagi memimpin negara bagi tempoh yang seterusnya?

Salah satu cara yang biasa digunakan bagi menjangka prestasi seseorang ataupun sesebuah organisasi, termasuklah organisasi politik adalah dengan menilai prestasi lalu mereka, dengan andaian bahawa prestasi lampau dapat memberikan petunjuk bagi prestasi akan datang.

 

Dalam hal ini, terdapat beberapa kayu ukur ataupun penanda aras yang dapat digunakan oleh rakyat jelata bagi menilai prestasi sesebuah kerajaan, termasuklah laporan audit kewangan, indeks rasuah, laporan kebebasan media dan sebagainya.

Semua laporan ini menjadi lebih relevan lagi dalam suasana yang mana kedua-dua organisasi politik utama negara, yakni BN dan Pakatan Rakyat berjaya menguasai negeri-negeri tertentu, yang mana tiada satu pun yang memperoleh majoriti dua pertiga di parlimen.

 

Maka prestasi kedua-dua organisasi politik dapat dinilai secara lebih adil kerana kedua-duanya berpeluang bagi memperlihatkan prestasi masing-masing dalam konteks menggerakkan kemajuan di negeri-negeri yang dipimpin.

 

Disebabkan keunikan suasana inilah maka penulis ingin mencadangkan satu lagi penanda aras ataupun kayu ukur diwujudkan bagi digunakan oleh rakyat demi menilai prestasi organisasi politik.

Kayu ukur yang dimaksudkan adalah Audit Rakyat ataupun The People’s Audit. Audit Rakyat ini bukanlah audit kewangan (financial audit) ataupun audit pematuhan (compliance audit) semata-mata kerana jika tidak, ia akan bertindan pula dengan audit yang sudah dijalankan oleh Jabatan Audit Negara

 

Audit Rakyat yang ingin dicadangkan ini adalah sejenis audit yang merangkumi prestasi organisasi politik (malah boleh digunakan bagi semua jenis organisasi sekalipun) mengikut parameter tertentu.

Salah satu parameter yang dapat digunakan adalah maqasid Syari’iyyah (matlamat Syariah), yang merangkumi pemeliharaan agama, nyawa, akal, nasab (keturunan) dan harta.

 

Melalui Audit Rakyat ini, prestasi organisasi politik dinilai berdasarkan sejauh mana mereka memenuhi kehendak maqasid Syari’iyyah, iaitu sejauh mana mereka mentadbir dan membangunkan negara dalam konteks memelihara agama, nyawa, akal, nasab (keturunan) dan harta.

 

Seterusnya, hasil Audit Rakyat ini dapat dicerakin menurut sistem pemarkahan tersusun, hingga membolehkan suatu angka dipadankan pada prestasi organisasi politik itu, lalu membentuk suatu indeks, yakni Indeks Maqasid Syari’iyyah. Misalnya, 1 dapat merujuk kepada prestasi terburuk (berlawanan dengan kehendak maqasid Syari’iyyah), manakala 5 pula dapat merujuk kepada prestasi terbaik (memenuhi kehendak maqasid Syari’iyyah).

 

Apabila kita dapat merasionalkan prestasi sesebuah organisasi politik kepada suatu angka tertentu (quantify), maka ia dapat membantu rakyat membuat keputusan bagi memilih organisasi politik yang difikirkan sesuai bagi menerajui Malaysia.

ADS