Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SUARAM mengecam isu-isu penindasan yang berlaku sepanjang pilihan raya kampus di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk insiden membakar kain rentang, kes menyimbah cat ke kereta calon serta penyebaran SMS berunsur hasutan yang diterima calon, khususnya Pro-Mahasiswa (Pro-M).

Terkini, pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) pula telah membatalkan kemenangan beberapa calon Pro-M dalam pilihan raya kampus di universiti tersebut. Walaupun menerima bantahan khususnya daripada pihak pelajar khususnya Pro-M, pihak universiti masih enggan membuat penjelasan sehinggalah ia mengundang campurtangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Selain itu, berlaku juga insiden di mana pegawai keselamatan pihak universiti (UPM) telah bertindak keras terhadap mahasiswa-mahasiswa yang berhimpun secara aman sehingga mengundang kecederaan apabila pintu kaca pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) pecah akibat insiden tolak-menolak antara kedua-dua pihak.   

Sebagai wadah pemangkin kesedaran demokrasi dan hak asasi manusia di kalangan mahasiswa, pihak universiti tidak sepatutnya bertindak secara keras dan memutuskan sesuatu perkara tanpa perbincangan dan penglibatan pelajar. Tindakan ini merupakan satu pencabulan ke atas demokrasi di kampus dan telah mengabaikan hak asasi manusia. Tindakan pihak Universiti yang hanya tahu berjanji tanpa sebaran inisiatif bagi merubah sistem demokrasi di kampus hanya akan meruntuhkan kualiti dan status universiti tersebut.

Deklarasi Hak Asasi Manusia  dalam artikel ke-19 dan ke-20 menyatakan hak seseorang untuk bebas bersuara dan hak untk berhimpun serta berpersatuan. Sementara itu, Perlembagaan Persekutuan dalam artikel ke-10 juga member jaminan kepada hak individu untuk berkumpul dan bebas menyatakan pendapat .

Pihak universiti sebagai institusi pengajian tinggi seharusnya memahami dan mematuhi artikel yang termaktub dalam perlembagaan deklarasi dan perlembagaan tersebut. Insiden keganasan dan ketidakadilan yang berlaku di UPM adalah disebabkan proses pengurusan pihak universiti  yang kurang telus dan adil, malah berada di bawah kawalan kerajaan pemerintah. Hal ini menyebabkan kumpulan mahasiswa yang bersifat kritikal dan berfikiran progresif selalu ditindas dalam kampus.

SUARAM menuntut pihak pengurusan UPM berhenti menggunakan pengawai keselamatan kampus untuk bertindak keras terhadap mahasiswa sehingga membawa kepada kecederaan kepada mahasiswa. Pengawai keselamatan langsung tidak mempunyai kuasa untuk bertindak keras, malahan mereka sepatutnya bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan mahasiswa serta mengawal keadaaan pada masa tersebut.

Pihak universiti harus menarik balik surat bantahan tersebut dan mengambil tindakan terhadap pengawai keselamatan yang bertindak keras termasuk mengambil langkah untuk meletak jawatan pengawal keselamatan tersebut.

SUARAM juga menggesa supaya satu suruhanjaya bebas dan adil diwujudkan bagi menyiasatkan isu-isu ketidakadilan dan penindasan yang berlaku sewaktu pilihanraya kampus yang lalu terutama bagi kampus UPM, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia(USM) untuk mengembalikan demokrasi kampus dan hak mahaisswa.

Penulis adalah penyelaras SUARAM

ADS