Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sehari-dua ini, saya melihat news feed di akaun facebook dipenuhi dengan ucapan takziah yang bertali arus. Ucapan takziah itu tidak lain dan tidak bukan dilafazkan berikutan kematian MP Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali.

Saya juga, sebaik mendapat berita tersebut terus menulis ucapan di wall FB beliau bagi menzahirkan rasa sedih dan simpati, setidak-tidaknya sebagai seorang manusia malah sebagai saudara seIslam.

Namun, disebabkan beliau merupakan seorang MP mewakili parti politik yang tidak sealiran dengan parti pemerintah di peringkat pusat, maka ramai yang menganggap sesiapa yang mengucapkan takziah kepada beliau adalah penyokong parti yang didokong beliau.

Tidak kurang juga, ada sebahagian yang lain turut berhasrat untuk melafazkan ucapan yang sama, tiba-tiba membatalkan hasrat itu bimbang-bimbang kalau dilabel sebagai pro kepada parti itu dan ini.

Saya kadang-kadang terfikir sejenak, salahkah seorang manusia mengucapkan takziah kepada manusia lain yang meninggal dunia?

Saya melihat di kalangan masyarakat kita, sentimen kepartian telah berakar dan mempengaruhi hampir seluruh ruang kehidupan malah menjadi asas pertimbangan dalam menentukan tindak-tanduk dalam kehidupan kita seharian. Sampai ke tahap nak mengucapkan takziah pun masih nak fikirkan parti?

Takkanlah nanti akan sampai ke satu tahap bila kita terserempak dengan seseorang yang kemalangan, kita akan tanya dahulu parti politik mereka sebelum menghulurkan bantuan? Saya melihat mentaliti lapuk ini perlu dibuang. Fitrah manusiawi dan prinsip Islam sepatutnya mengatasi pegangan politik.

Sepanjang pengamatan saya, apabila ada MP Pakatan Rakyat yang meninggal, sedikit sekali ucapan takziah datang dari pemimpin BN. Begitu juga jika ada MP BN yang meninggal, jarang sekali ucapan takziah diberikan oleh pemimpin Pakatan.

Jika ada pun mungkin boleh dibilang dengan jari. Mungkin adat ini telah menjadi budaya Melayu tetapi saya yakin ia bukan budaya Islam.

Harapan saya agar mentaliti kepartian yang 'excessive' ini perlu dielakkan, baik dari pihak Pakatan mahupun BN. Jika selepas ini ada pemimpin BN meninggal, tidak salah jika ada pemimpin Pakatan  untuk turun memberikan penghormatan terakhir.

Pihak Pakatan juga boleh mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili parti untuk mengutuskan ucapan takziah. Begitu juga jika ada pemimpin Pakatan yang meninggal, tiada salahnya jika pemimpin BN serta kerajaan turut mengucapkan takziah melalui kenyataan rasmi parti/kerajaan serta turun memberi penghormatan terakhir.

Saya ingin memuji Datuk Seri Shahrizat Jalil yang mengetepikan fahaman politik beliau dengan hadir memberikan penghormatan terakhir sebelum Dr. Lo' Lo' dikebumikan tempohari.

Ketika ditemuramah wartawan, beliau berkata: "Parti politik kami berbeza tapi sebagai umat Islam, saya perlu datang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga arwah. Saya tidak membawa politik dalam semua ruang kehidupan saya".

Saya masih ingat, sewaktu di UK beberapa tahun lalu, apabila Ivan - anak lelaki David Cameroon (yang ketika itu Ketua Pembangkang Parlimen UK),  meninggal dunia, PM Gordon Brown telah membatalkan sesi soaljawab parlimen bagi menzahirkan kesedihan mereka di atas kehilangan Ivan.

Brown berkata kepada semua MP: "I know that the whole house will want to express their sorrow at the death of Ivan Cameron". "He brought joy to all those around him. Every child is precious and irreplaceable. The death of a child is an unbearable sorrow no parents should have to endure."

Begitulah budaya Mat Saleh yang jarang ada dalam masyarakat kita. Sebenarnya dalam Islam, Nabi telah menunjukkan tauladan yang jelas, cuma kita yang jarang mengambil iktibar darinya.

Di dalam satu hadis daripada Sahl bin Hunaif dan Qais bin Saad menjelaskan satu jenazah pernah lalu di hadapan Rasulullah s.a.w, lalu Baginda s.a.w bangun (pada ketika itu Rasulullah s.a.w bersama para sahabat).

ahabat berkata, “Wahai Rasulullah, jenazah itu adalah jenazah orang yahudi.” Rasulullah s.a.w kemudiannya bersabda, “Bukankah dia juga seorang manusia.” (Bukhari)

Akhir sekali saya berharap, janganlah membawa politik ke seluruh ruang kehidupan kita. ebaliknya, sama-samalah kita pastikan Islam mengisi segenap ruang kehidupan serta jadikan ia asas pertimbangan urusan kehidupan kita seharian.

Adapun politik dan siasah bukanlah matlamat kehidupan tetapi hanyalah cabang dari Islam yang menjadi wasilah untuk memastikan prinsip Islam itu tertegak. Benarlah, kadang-kadang kita terlalu memikirkan sudu dan pinggan daripada memikirkan makanan yang ingin dimakan!

ADS