Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Maka Sultan Selangor pun bertitah bahawasanya baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Titah ini menjadi khulasah pada episod di mana kebijaksanaan dan iltizam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melaksanakan tanggungjawabnya memelihara keluhuran akidah umat di Selangor dipertikaikan.

Malah ini juga menegur sikap sesetengah pihak yang mengambil sikap negatif dan apologetik dan meletakkan JAIS di kandang orang salah apabila memohon maaf kepada pihak yang yang tidak bersangkut paut dengan kegiatan rutin JAIS itu seolah-olah mereka hanya bertindak menurut seleranya belaka.

Baginda sultan dengan tekun meneliti laporan berhubung itu isu sebelum bertitah. Selaras itu, baginda mahu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS supaya sentiasa mengadakan

pemantauan rapi isu akidah ini dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu teragak-agak.

Kepemimpinan dan jiwa kental mempertahankan maruah dan keluhuran akidah orang Islam Selangor amat terserlah apabila tanpa berselindung atau cuba bertitah secara samar baginda menegaskan bahawa tindakan JAIS menjalankan pemeriksaan ke atas majlis “Thanksgiving” di Dewan 3, Kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ramadan lalu adalah betul.

Sewajarnya baginda menyuntik semangat kepada peneraju dan kakitangan penguatkuasaan MAIS dan JAIS supaya usah bersikap “mengalah” atau apologetik ketika berhadapan dengan sebarang

percubaan untuk melunturkan akidah orang Islam dengan semangat Islam yang bening dan tulen.

Hemah baginda sebagai ketua agama Islam di bumi Darul Ehsan ini sudah pasti bertunjangkan hakikat bahawa secara teknikalnya undang-undang negeri Selangor dan juga perlembagaan persekutuan sudah cukup untuk merangsang MAIS dan JAIS sentiasa bersiap siaga memelihara dan memekarkan aqidah penduduk Selangor.

Baginda arif bahawa Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988 dipayungi oleh Fasal (1) dan (4) Perkara 11perlembagaan persekutuan tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada penganut agama Islam.

Apa yang indah dan melapangkan dada daripada titah ini ialah kebeningan firasat yang dijelmakan dalam titah baginda yang bersalut ciri dan jiwa seorang pemimpin Islam yang kental.

Ini diimbangi hakikat bahawa penghayatan Islam di Selangor selama ini memang sentiasa diadun dengan semangat toleransi dan rasa hormat terhadap penganut agama lain. Namun bagi baginda toleransi dan hormat perlu ada sempadannya. Usahlah ada pihak yang cuba mengeruhkan akidah ummah dan lebih penting lagi janganlah pula ada pihak yang cuba menafsirkan sifat lunak pengurusan dan penghayatan Islam di Selangor ini sebagai satu kelemahan yang boleh dijadikan satu pertaruhan politik.

Tiada kompromi dalam soal akidah. Akur atau kufur terhadap tuntutan dan ketetapan Allah adalah barometer iman bukan sahaja untuk individu, sesebuah masyarakat Islam malah ia adalah

penyuluh iltizam atau komitmen Islam seseorang pemimpin seperti baginda Sultan.

Sebagai pemimpin, baginda begitu tenang dan sabar dalam menangani isu DUMC ini dan tidak terburu- buru menjatuhkan hukum bersandarksan pertimbangan peribadi sahaja. Ulama dirujuk dan fakta dinilai. Mungkin kali ini keterangan untuk membuktikan kegiatan yang mencabar akidah umat Islam tidak mencukupi. Namun baginda mahu MAIS dan JAIS sentiasa bertegas dalam tugas.

Atas nama kesaksamaan, baginda berpuashati tidak ada ada pendakwaan dilakukan ke atas mana-mana pihak.

Namun usahlah ada pihak yang masih cuba menyuntik keraguan terhadap kecekapan dan komitmen JAIS menjalankan tugas dengan cuba memberi gambaran yang prosedur atau tatakelola JAIS lemah.

Seperti titah baginda JAIS perlu terus menjalankan usaha dakwah lebih kerap terhadap orang Islam supaya aqidah mereka diperkukuhkan lagi.

Selaras dengan itu, baginda mahu supaya jangan ada mana-mana pihak cuba meneruskan aktiviti mengembangkan ajaran agama lain pada orang Islam. Justeru setiap pihak eksekutif yang terbabit

dengan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang di negeri Selangor seharusnya bukan sahaja mengambil maklum titah baginda ini malah perlu membuktikan mereka faham inti firasat baginda sebagai ketua agama Islam Selangor ini.

Kegiatan yang memudaratkan aqidah umat mesti dihentikan segera. Kawalan kegiatan ini mesti dilakukan sekuat tenaga dan tidak harus berpura bersikap berlapang dada walhal yang bersarang di benak ialah hanya untuk mengaut laba politik.

Akidah umat tidak boleh dipertaruhkan.

ADS