Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Hudud: 100 tahun lagi jika Pakatan bentuk k'jaan

Saya amat tertarik dengan hujah agama yang diberikan oleh Dzulfikar Mashoor dalam suratnya bertajuk ‘Hudud Harus Berlambatan atau Bercepatan’ yang disiarkan Malaysiakini .

Saya andaikan hujah Saudara Dzul dilakukan berasaskan konsep prioriti atau mengutamakan kemashalatan lebih besar terlebih dahulu sebelum mencapai kejayaan. Selepas itu barulah boleh difikirkan kemashalatan yang ingin dilaksanakan seumpama pelaksanaan Hudud.

Tidak pasti samada saudara Dzul bertindak sebagai seorang ejen PAS atau pun tidak, namun agak pasti terdapat keanehan cara berfikir di sini apabila beliau meletakkan Hudud sebagai perkara yang boleh ditangguhkan sehingga kejayaan besar dicapai.

Kesilapan beliau terletak kepada kaedah pemilihan cara berfikir apabila beliau membandingkan kisah kemasukan Islam ke kota Mekah melalui beberapa siri perjanjian (rujuk surat saudara Dzul) yang akhirnya menyebabkan Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya dapat menakluk kota Mekah secara keseluruhannya.

Perbandingan ini pastilah tidak sesuai kerana penaklukan kota Mekah tidak ada sebarang kesamaan dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada yang juga dinaungi oleh kelompok majoriti Islam.

Secara perbandingan, lebih jelas unsur-unsur Islam yang diamalkan dalam dasar-dasar kerajaan sedia ada berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan juga di negeri Selangor.

Kesilapan kedua beliau adalah meletakkan unjuran yang salah dalam penulisannya kerana apa yang diunjurkan itu tidak berasaskan kepada andaian yang tepat.

Dalam situasi apa pun, dalam bidang pengajian apa sekalipun sesuatu unjuran yang dibuat perlu berasaskan kepada perkara-perkara semasa yang berlaku. Misalnya, dalam mengunjurkan pertumbuhan ekonomi tahun hadapan, perlu dilihat kepada faktor-faktor ekonomi semasa, kuat atau lemah. Begitu juga unjuran kemajuan bola sepak di Negara kita perlu berasaskan kepada prestasi dan program-program semasa yang dirangka pada masa ini.

Mari kita lihat unjuran melaksanakan undang-undang Hudud yang ditangguhkan dahulu sekarang ini, yang diandaikan saudara Dzul akan dilaksanakan selepas kejayaan menumbangkan BN dalam PRU akan datang.

Andaian-andaian semasa adalah seperti berikut; kegagalan total pihak pengurusan tertinggi PAS dalam memujuk (convince) pemimpin utama Pakatan mengenai pelaksanaan Hudud walaupun hanya di peringkat percubaan yang terhad untuk umat Islam di negeri Kelantan sahaja.

Keduanya, yang juga berkait dengan andaian pertama ialah penentangan yang amat keras oleh tiga tokoh utama dan penentu dasar semasa DAP, iaitu Pengerusi DAP, Penasihat serta Setiausaha Agungnya sehingga mewujudkan keadaan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’, nama lain bagi perkataan konflik.

Ketiga, yang saya kira paling besar ialah menghadkan rujukan bersama pakatan ialah kepada tiga ‘pelan’ suci, iaitu Buku Jingga,Dasar kerja Bersama 2009 dan Kerjasama Bersama 28 September.

Tidak terbetik langsung di benak pemimpin PAS untuk memasukkan Kitab al-Quran misalnya sebagai salah satu rujukan penting dalam meletakkan asas-asas kepada dasar Pakatan Rakyat.

Dengan itu unjuran yang lebih boleh diterima berasaskan 3 andaian tadi ialah PAS tidak mungkin mampu menlaksanakan undang-undang Hudud dalam kerangka kerjasama mereka dalam Pakatan Rakyat pada masa sekarang dan akan datang sekalipun Pakatan memenangi PRU ke 13.

Pemikiran seperti ini lebih realistik, nampak lebih saintifik dan tidak kelihatan sebagai cubaan memanipulasi rakyat supaya meneruskan sokongan kepada mereka di kawasan-kawasan yang tinggi semangat keIslamannya.

Saya menunggu hujah saudara Dzul jika andaian saya ini salah.


Umar Zain, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM)

 

ADS