Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya merupakan salah seorang mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan kini berada di tahun akhir dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Teknologi Rangkaian).

Saya amat tertarik & tersentuh dengan luahan hati seorang ibu kepada pelajar KUIS yang mengadu tentang masalah kewangan yang menimpa anaknya di KUIS dan beberapa kepincangan yang berlaku di KUIS yang telah disiarkan di Malaysiakini tempoh hari.

Saya selaku salah seorang mahasiswa di KUIS berasa terpanggil untuk turut meluahkan beberapa permasalahan yang telah menghantui mahasiswa di KUIS.

Antara masalah yang begitu merunsingkan mahasiswa di KUIS adalah mengenai ‘paksaan’ untuk mewajibkan semua pelajar supaya tinggal di asrama pada sesi kemasukan yang akan datang iaitu pada awal November ini. 

Sebenarnya paksaan untuk mewajibkan semua pelajar tinggal di asrama ini telah bermula pada sesi yang lepas, namun ia semakin diketatkan pada sesi kemasukan yang akan datang.

Paksaan untuk mewajibkan pelajar untuk tinggal di asrama ini ditentang keras oleh kami kerana bebanan yuran asrama yang semakin tinggi & ia tidak termasuk dengan yuran pengajian lagi.

Sebagai contoh, asrama di KUIS mempunyai empat (4) jenis iaitu A,B,C & D. Asrama jenis D adalah yang paling murah sekali di KUIS.

Jika sebelum ini yuran asrama jenis D ini berjumlah RM550.00 setiap seorang (4 orang untuk 1 bilik), kini  yuran asrama jenis D tersebut telah meningkat kepada RM700 lebih setiap seorang (tanpa ada penambah baikan pada asrama jenis tersebut). Kenaikan ini juga berlaku kepada asrama jenis A,B & C yang yurannya mencecah kepada RM1000 ++.

Paksaan untuk mewajibkan pelajar tinggal di asrama ini juga diketahui berpunca daripada perjanjian yang telah termeterai antara pihak pengurusan KUIS (institusi bawah Kerajaan Negeri Selangor) dengan pihak pemaju yang menjalankan projek membina dan mengurus asrama tersebut.

Penulis difahamkan pihak KUIS dikehendaki membayar sebanyak berbelas jutaan ringgit setahun kepada syarikat pemaju tersebut dan mengikut perjanjian ia harus dibayar selama 30 tahun.

Oleh yang demikian, untuk mendapat pulangan kewangan kembali, pihak KUIS telah memaksa para pelajarnya untuk wajib tinggal di asrama tersebut dan ini telah mengakibatkan pelajar berada di dalam keadaan tersepit dan berhadapan dengan masalah kewangan yang serius.

Masalah kewangan yang dialami oleh pelajar KUIS ini telah menjadi semakin teruk apabila ada sebilangan pelajar yang gagal mendapat pinjaman kewangan dan ia ditambah pula dengan kos sara hidup yang tinggi dengan terpaksa menanggung kos pembelian buku-buku pengajian yang mahal dan yuran pengajian di KUIS yang mahal serta sentiasa meningkat saban tahun. (Pernah meningkat sebanyak 100%)

Selain itu, akibat daripada kekangan kewangan yang menimpa mahasiswa di KUIS, bukan sahaja terdapat sebilangan pelajar KUIS yang terpaksa bekerja separuh masa untuk menanggung kos sara hidup yang tinggi dan yuran yang mahal di KUIS, malah terdapat juga beberapa mahasiswa yang terpaksa menangguhkan pengajian & berhenti pengajian di KUIS akibat daripada masalah kewangan yang telah menimpa mereka.

Masalah ini telah banyak kali dibangkitkan oleh mahasiswa di KUIS kepada pihak pentadbiran KUIS dan kepada perwakilan mahasiswa di KUIS namun tiada sebarang tindakan yang dapat mengurangkan beban kami dapat dilakukan oleh mereka.

Yang dapat dilakukan oleh mereka hanyalah sekadar mendengar rungutan, luahan hati kami dan mereka akan memberi janji untuk menyelesaikan masalah tersebut dan akhirnya janji tersebut hanya tinggal sebagai janji kosong sahaja kerana masalah kewangan terus menghantui kami selaku mahasiswa.

Oleh yang demikian, saya selaku antara ribuan mahasiswa KUIS yang terseksa dengan masalah yuran,kewangan & kos sara hidup yang tinggi di KUIS ini mengharapkan supaya pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pihak pengurusan tertinggi KUIS dan Kerajaan Negeri Selangor dapat mengambil tindakan susulan dengan secepat mungkin untuk menangani masalah ini dan dapat menjadikan KUIS sebagai salah satu pusat pengajian tinggi yang mesra mahasiswa & kondusif kepada semua lapisan masyarakat.

ADS