Pada 2009, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menimbulkan isu keburukan salun kecantikan dan harga yang terpaksa dibayar untuk kecantikan. CAP telah meminta kerajaan mengharamkan pembedahan dan prosedur berisiko lain di salun kecantikan.

Gesaan ini dibuat apabila terdapat kes kematian yang dilaporkan berikutan prosedur menyedut lemak (liposuction) akibat tindak balas alergi terhadap anestetik yang dilakukan terhadap pelanggan. Bekas ketua pengarah kesihatan Tan Sri Dr. Ismail Merican dipetik sebagai berkata siasatan mendedahkan pembedahan itu dijalankan oleh pakar bedah.

Adalah tidak jelas jika anestetik itu dilakukan adalah anestetik setempat atau umum tetapi yang pasti ia mestilah dilakukan dengan lebih berhati-hati. Kes ini mengakibatkan kehilangan nyawa. Tambahan lagi, terdapat beberapa laporan mengenai keadaan muka yang bertukar menjadi parut yang teruk dan kesan sampingan lain yang serius berikutan hasil "rawatan" di salun kecantikan.

Dalam laporan media semalam, Kementerian Kesihatan dipetik sebagai berkata ia akan memperkenalkan garis panduan pada bulan depan berhubung apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan bagi industri kecantikan terutama sekali melibatkan prosedur yang boleh memudaratkan pelanggan.

Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa garis panduan sering tidak dapat mengawal dengan berkesan; sebaliknya sebagai ganti pihak kementerian perlu menggubal undang-undang yang akan memberikan kuasa kepada pihak kementerian untuk mendakwa pengusaha salun ini.

Jika terdapat hanya garis panduan, pengguna perlu mengambil tindakan undang-undang atau membawa kes mereka kepada Tribunal Tuntutan Pengguna untuk hanya mendapat ganti rugi kewangan sahaja. Tambahan pula, pihak tribunal tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa salun yang melakukan kesalahan. Adalah tidak munasabah untuk membebankan pengguna bagi masalah yang disebabkan oleh salun kecantikan.

CAP juga menggesa Kementerian Kesihatan supaya meneliti segala prosedur yang dijalankan oleh salun kecantikan, yang kelihatan lari daripada skop kepakaran sebenar. Salun ini tidak dilesenkan sebagai klinik atau hospital perubatan dan seharusnya terdapat had terhadap apa yang dibenarkan untuk diteruskan di pusat-pusat seperti ini.

Prosedur seperti menyedut lemak, mengempiskan perut (tummy tucks), pembedahan sekitar mata (eye bag surgery), suntikan botox (botox injections) dan lain-lain pembedahan atau yang melibatkan bahan kimia bahaya atau anestetik di salun kecantikan perlu diharamkan oleh Kementerian Kesihatan.

Seharusnya tidak berlaku kehilangan nyawa atau tragedi hasil daripada kunjungan ke salun kecantikan.


Penulis merupakan presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).