Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menjelang pemahsyuran presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) baru yang dijadualkan pada Jumaat, kedengaran perbezaan pendapat mengenai sistem syura yang dilaksanakan oleh pertubuhan gabungan berkenaan.

Ada yang bersetuju dengan sistem syura yang sedia ada, iaitu memberi autoriti kepada bekas pemimpin GAMIS sendiri menentukan 'waris' kepemimpinan mereka dengan mendapat 'lampu hijau' dari pemimpin pemuda parti tertentu.

Ada yang bersetuju dengan sistem syura yang lebih demokratik, iaitu setiap ahli GAMIS diberi hak untuk menentukan setiap kepemimpinan mereka melalui proses pilihan raya.

Sebelum disaring sistem yang mana terbaik di sisi Islam, eloklah diketahui bahawa aliran fekah pertengahan ( al-wathathi ) bersepakat bahawa sumber hukum syarak dalam Islam adalah al-Quran, hadith, ijmak dan qiyas.

Proses syura atau melantik kepemimpinan GAMIS sendiri sewajibnya berpijak atas sumber-sumber syarak tersebut.

Keterangan sejarah gerakan mahasiswa, pendapat mana-mana pemimpin, amalan perlantikan kepemimpinan generasi dahulu, sangkaan, percaturan hatta konspirasi (jika ada); semuanya ditolak sekiranya bersalahan dengan empat sumber hukum syarak berkenaan.

Jika difahami soal basik dalam usul fekah ini, sekaligus boleh membantu GAMIS menilai proses syura yang sedia ada atau mendemokrasikan sistem syura dengan setiap ahli layak mengundi.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah pihak menghukum usaha mendemokrasikan sistem pemilihan kepemimpinan ini sebagai tidak menepati sistem syura yang sebenar menurut Islam.

Ini kerana, mereka yang berkenaan mencandukan bahawa demokrasi yang membenarkan setiap ahli berfikir, menyuarakan pendapat hatta menentukan kepemimpinan satu-satu pertubuhan sebagai suatu sistem yang disadur dari Barat, bukan dari sumber Islam yang sebenar.

Sesetengah pihak menganggap, proses syura yang sedia ada didakwa "tidak layak" kerana dianggap kurang demokratik.

Sesetengah yang lain pula menganggap, setiap ahli yang menuntut hak untuk mengundi dan menentukan kepemimpinan GAMIS mereka secara lebih demokratik juga dianggap "tidak layak" sebagai entiti syura disebabkan demokrasi itu sendiri didakwa bukan dari Islam.

Sebenarnya proses syura mana sekalipun wajar dianggap "layak" selagi mana kedudukan syura itu terpijak pada sumber hukum syarak atau tidak bersalahan pada mana-mana sumber hukum syarak.

 

Syura yang hampir pada Ijmak

Sebenarnya tidak ada nas yang sahih lagi soreh melarang pendemokrasian syura dengan membenarkan setiap ahli menentukan kepemimpinan mereka.

Bahkan, proses pendemokrasian syura yang dicadangkan itu sebenarnya lebih hampir kepada ijmak berbanding syura yang hanya membataskan atau memberikan autoriti bilangan kecil tententu sahaja dalam menentukan kepemimpinan ummah atau negara hatta persatuan seperti GAMIS.

Sistem syura yang mendekati ijmak adalah salah satu nikmat daripada Allah SWT untuk menyelesaikan perbezaan pendapat di kalangan hamba-hambanya.

Pendapat syura yang dihasilkan dari pendapat majoriti 1,000 muslim lebih mendekati ijmak berbanding pendapas syura yang eksklusif 10 hingga 20 orang sahaja.

Sebab itu, Nabi Muhammad SAW sendiri menerima pandangan majoriti ketika berlaku perbezaan hatta pertembungan pendapat. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat atas kesesatan. Sekiranya kamu lihat perselisihan, maka hendaklah kamu ambil ‘As-Sawad Al-‘Azam’ .” (Ibnu Majah: 3940)

Dalam menafsirkan maksud “ sawad a’zam ”, Kitab As-Sindi menyatakan, “Jemaah yang ramai. Kerana, kesepakatan mereka lebih hampir kepada ijmak”

Imam As-Sayuti dalam menafsirkan “ sawad ‘Azam ” dengan menyebut, “Ia adalah himpunan manusia dan kebanyakkan yang mereka bersepakat atas melalui jalan yang betul. Hadis itu menunjukkan bahawa selayaknya beramal dengan perkataan majoriti.” (Hasyiah As-Sindi: 3940)

Al-Munawi pula berkata, “hendaklah kamu ikut sawad ‘azam dari ahli islam] iaitu, lazimi mengikut pendapat majoriti orang islam, kerana ia adalah kebenaran yang wajib dan fardu yang pasti, yang tidak harus menyalahinya. Barangsiapa menyalahinya, lalu mati, maka ia mati jahiliyyah” (Faidul Qadir : 2/547)

Pendapat ini, amat bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dua lebih baik dari satu. Tiga lebih baik dari dua. Empat lagi baik dari tiga. Hendaklah kamu dengan jemaah [majoriti], kerana Allah SWT tidak akan menghimpunkan umatku kecuali atas petunjuk” [Musnad Ahmad: 20331]

Syura dan demokrasi menurut ulama

Syeikh Mohammad Al-Ghazali (1917-1996) dalam bukunya berjudul al-Islam wa ad-Dimoqratiyyah antara lain berpendapat, demokrasi menjadi pendinding bagi setiap individu daripada dikuasai oleh individu yang menyalahguna kuasa.

Ini kerana, demokrasi menimbulkan perasaan keberanian kepada sang pengkritik untuk berani menyatakan pandangan mereka kepada pemerintahan tanpa rasa takut dipenjara atau ditangkap.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Jihad yang paling afdhal adalah perkataan yang benar di sisi pemimpin yang jahat." (an-Nasa'e: 4002)

Dr Yusof al-Qardhawi dalam karyanya Fi Fiqh ad-Daulah antara lain menyebut, "demokrasi boleh meruntuhkan peraaan penguasa yang gemar mempertuhankan diri (penulis: ego dan zalim) mereka dan memaksa rakyat untuk menjadi hamba kepada penguasa."

Pendapat itu berdasarkan dua firman Allah yang bermaksud:

"Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhan-nya (Allah) kerana Allah telah memberi kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim menyatakan: 'Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Mematikan'; orang itu berkata: 'Saya dapat menghidupkan dan mematikan'. Ibrahim berkata: 'Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari Timur, maka terbitkanlah ia dari Barat', lalu terdiam orang kafir itu; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Surah al-Baqarah: 258)

"Sesungguhnya Firaun telah membuat sewang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas: 4)

Menurut Qardhawi, demokrasi adalah satu jaminan terbaik yang boleh melindungi rakyat dari kezaliman penguasa. Ini kerana, dalam demokrasi terdapat sistem yang baik seperti kewujudan prinsip keadilan, syura, penghormatan terhadap hak asasi manusia serta penentangan terhadap para penguasa yang bersikap sombong di atas muka bumi ini.

Rashid al-Ghanousi dalam karyanya al-Hurriyyah al-Ammah fi ad-Daulah al-Islamiyyah antara lain menyebut, Islam tidak bertentangan dengan demokrasi. Bahkan, berkongsi beberapa ciri yang sama iaitu kepentingan bersama dapat bertukar antara satu sama lain serta formula hidup bersama dapat diwujudkan.

Beliau bukan sahaja menerima beberapa ciri pada sistem demokrasi sebagai sistem syura terbaik, bahkan mengajak pemimpin-pemimpin umat Islam supaya membuat tranformasi pada sistem demokrasi Barat.

Ini kerana katanya, orang-orang Eropah pada hakikinya telahpun mengambil faedah daripada tamadun Islam, iaitu konsep syura, menghormati konsep ummat dan pandangan terbanyak.

Pendapat itu didasarkan pada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Umat tidak disatukan di atas sebarang penyelewengan. Apabila kamu lihat berlaku perselisihan, maka hendaklah kamu kembali kepada Sawad 'azam (Ibn Majah: 3940)

Juga dalam suatu hadith mauquf, iaitu perkataan Abdullah bin Mas'ud ketika melihat kesepakatan umat dalam melantik Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah dengan menyebut:

"Apa sahaja yang dilihat baik oleh orang-orang Islam, maka ia baik di sisi Allah." (Musnad Ahmad)

Ijtihad di lapangan

Sistem syura yang memberi hak mengundi pada setiap ahli GAMIS dalam menentukan kepemimpinan mereka ternyata lebih dekat pada Ijmak (yang menjadi salah satu sumber hukum syarak) jika dibandingkan sistem syura eksklusif yang dianggotai oleh bekas pemimpin tertentu sahaja.

Tamadun Kristian sebelum ini seakan mengajar umatnya supaya lebih demokratik dalam sistem mereka. Hindu dan Buddha juga ada ajar hal yang sama. Lebih menarik, tamadun Barat yang ditohmah secara semberono sebagai sekular juga mengajar rakyatnya supaya lebih demokratik dalam sistem demokrasi mereka.

Takkan Islam lebih rendah darjatnya sehingga memandulkan umatnya dari proses demokrasi dalam sistem syuranya yang nyata dekat dengan ijmak?

GAMIS perlukan al-ijtihad al-tanzili (ijtihad di lapangan) yang lebih lebih jujur mengikut hukum syarak supaya boleh diteladani oleh persatuan atau gerakan atau parti yang melaksanakan cita-cita Islam tertentu dalam konteks Malaysia sekarang.


Penulis merupakan bekas aktivis mahasiswa yang aktif dalam GAMIS dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sekitar tahun 2004 hingga 2006.

ADS