Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tender bagi pemilihan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) tahun 2016-2020 kini dibuka dan khabarnya taklimat sudah diadakan pada 13 Februari lalu di Auditorium Parcel E, Kompleks Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Harapan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) adalah bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak akan "tertipu" lagi oleh pihak tertentu yang cuba memanipulasi kelemahan sistem pemilihan teks Komsas.

Nasihat dan harapan ini adalah berikutan pendedahan beberapa penulis sejak 15 Ogos 2011 bahawa terdapat penerbit tertentu yang menipu dan menganiaya penulis dalam penerbitan teks Komsas yang sedang digunakan di sekolah sekarang (2011-2015).

Malah, beberapa penulis tampil mendedahkan kepada Kavyan berhubung kemungkinan penerbit tertentu mengemukakan beberapa dokumen palsu (khususnya surat izin) yang kononnya ditulis dan ditandatangani oleh penulis terbabit.

Bagi pemilihan teks Komsas 2016-2020, Bahagian Pembangunan Kurikulum menetapkan syarat bahawa penerbit perlu menyerahkan "bahan yang berkualiti dan telah berada di pasaran" kepada bahagian berkenaan pada 5-9 Mac 2012 untuk penilaian.

Proses pemilihan lalu terbukti mempunyai banyak kelemahan yang akhirnya membuatkan penerbit tertentu mengambil kesempatan mengaut untung; sekali gus menindas penulis dengan menafikan hak royalti penulis terhadap karya yang dijadikan teks Komsas.

Bagi pemilihan teks Komsas 2016-20, tatacara penyerahan menetapkan bahawa penerbit wajib mengemukakan "satu surat akuan bahawa penerbit/pembekal mempunyai hakcipta ataupun hak untuk membekal ke atas bahan bacaan yang diserahkan".

Kavyan mencadangkan kepada KPM supaya bagi setiap karya yang diterima, pegawai KPM wajib menghubungi penulis terbabit untuk mendapatkan pengesahan berhubung karya itu sebelum senarai teks Komsas diputuskan.

Penerbit wajib menyerahkan maklumat penulis seperti alamat, nombor telefon dan e-mel bersama-sama karya yang dikemukakan untuk penilaian.

Hal ini wajar kerana terdapat sekurang-kurangnya satu kes di mana penerbit memberi alasan tidak dapat membayar royalti kepada seorang penulis kerana berlaku pertukaran alamat dan DBP tidak tahu nombor telefon/e-mel penulis.

Malah, apa yang berlaku sebelum ini adalah bahawa ada penerbit yang langsung tidak memberitahu penulis bahawa karyanya dijadikan teks Komsas. Penulis hanya mengetahui perkara itu selepas karya sudah terbit.

Pada masa sama, ada penerbit yang didapati mengemukakan dokumen palsu; kononnya ditandatangani penulis. Dalam isu ini, sekurang-kurangnya empat penulis sudah membuat laporan polis terhadap penerbit terbabit.

Kavyan mencadangkan kepada KPM supaya hanya karya-karya yang mana terbukti hak cipta dipegang oleh penulis asal layak dinilai sebagai teks Komsas. Hal ini penting kerana dalam pemilihan lalu, penerbit mungkin terkeliru antara hak cipta ( copyright ) dan hak penerbitan ( publishing right ).

Langkah ini juga penting bagi mengelakkan penerbit yang tidak beretika menggunakan alasan outright purchase untuk 'menipu' KPM dan penulis dengan mengatakan karya itu menjadi milik penuh penerbit.

Penerbit/pembekal juga wajib mengemukakan dokumen perjanjian penerbitan yang asal bagi karya berkenaan sebagai bukti bahawa hak cipta masih dipegang oleh penulis.

Kavyan percaya bahawa cadangan ini akan dilaksanakan sepenuhnya oleh KPM sekiranya KPM ikhlas dalam usaha membela nasib para penulis.

Kavyan juga berharap karya Sasterawan Negara, penerima SEA Write Award , penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan karya yang benar-benar bermutu serta pertama kali terbit pada tahun 2000-11 diberi keutamaan.

Hal ini juga penting bagi memastikan tidak timbul isu/kontroversi seperti yang berlaku pada novel Interlok di mana novel itu sebenarnya terbit pada tahun 1971; dan mungkin KPM tidak dimaklumkan perkara itu oleh penerbit/pembekal.

Berdasarkan pengalaman kontroversi novel Interlok juga, Kavyan berharap KPM akan memastikan karya-karya yang dinilai tidak mengandungi sebarang perkara yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, agama dan budaya.

Bagaimanapun, jika tumpuan KPM hanyalah untuk memastikan buku teks Komsas tetap terbit walaupun penulis terus teraniaya dan dizalimi penerbit yang tidak beretika, maka segala cadangan di atas daripada Kavyan boleh diabaikan.


Penulis presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

ADS