Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, iaitu bentuk pemerintahan yang menggunakan pungutan suara rakyat sebagai asas dalam pemilihan kerajaannya.

Ini salah satu komponen utama dalam pengamalan demokrasi bagi mana-mana negara yang telah mencapai status kemerdekaan. Demokrasi ideologi politik yang menekankan kepada konsep kebebasan dan kedaulatan yang bertunas daripada fahaman liberalisme.

Pada asasnya, demokrasi mempunyai tujuh asas utama, iaitu kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya secara konsisten, bebas dan adil, kebebasan berorganisasi dan berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan badan kehakiman yang bebas dan berkecuali.

Sebagai sebuah medan meraih sokongan dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin, pilihan raya dilihat daripada kaca mata Islam sebagai medan jihad. Ini kerana jihad didefinisikan sebagai melaksanakan sesuatu usaha dengan cara bersungguh-sungguh.

Ia merujuk kepada usaha untuk meninggikan kalimah Allah dan meletakkan syiar Islam di tempatnya yang tertinggi. Pilihan raya menjadi medium yang paling tepat untuk dimanfaatkan sebagai sebuah wasilah bagi mendapatkan kuasa pemerintahan, seterusnya membolehkan hukum Allah ditegakkan di atas muka bumi ini.

Baginda SAW sendiri mengisytiharkan jihad perang sebagai wajib kepada kaum Muslimin terhadap golongan kuffar dan kezaliman serta harus menegakkan keadilan sejagat. Ini kerana, Islam pada masa itu mendapat tentangan musuh melalui senjata.

Mengambil kira konteks di Malaysia, jihad pilihan raya menjadi kewajipan bagi memastikan cita-cita meletakkan kalimah Allah di tempat tertinggi tercapai.

Ia antaranya dengan menjadikan pilihan raya sebagai medium terpenting untuk mengembalikan keamanan, melawan kezaliman sehingga keadilan dapat dinikmati oleh masyarakat semua golongan.

Merujuk kepada kaedah usul Fikah (maksudnya):

"Tidak akan sempurna sesuatu yang wajib melainkan melaksanakan sesuatu perkara, maka melaksanakan perkara tersebut adalah wajib."

Wajibnya melaksanakan hukum Islam di atas muka bumi menjadi asbab kepada wajibnya untuk umat Islam menyertai pilihan raya di Malaysia, hatta di mana-mana negara yang mengamalkan sistem yang sama.

Tugas melantik pemimpin menjadi tanggungjawab setiap rakyat marhaen kerana pemimpin memainkan peranan utama menyelamatkan rakyatnya daripada kebinasaan di dunia dan akhirat. Setiap pemimpin akan dipersoalkan di akhirat kelak mengenai golongan yang berada di bawah pimpinnya.

Oleh itu, amat penting bagi masyarakat sesebuah negara supaya sentiasa bersikap teliti dan berhati-hati memilih golongan yang akan memimpin mereka kerana golongan inilah yang akan memandu mereka sama ada menuju keberhasilan atau kemusnahan

Realiti yang sedang berlaku di Malaysia masih belum menampakkan tanda-tanda yang positif dan sinar harapan ke arah merealisasikan cita-cita meletakkan kalimah Allah di puncak tertinggi.

Korupsi bermaharajalela baik di kalangan pemimpin peringkat atasan mahupun bawahan, pelanggaran syariah secara terang-terangan dan berleluasa, terhakisnya norma-norma masyarakat lantaran iman yang semakin menipis saban hari menyebabkan sukarnya kezaliman dihapuskan dan keadilan untuk ditegakkan.

Jauhnya umat Islam hari ini daripada Al-Quran dan As-Sunnah bermula daripada peringkat kepimpinan sehinggalah kepada golongan yang dipimpin menjadikan keadaan masyarakat Islam semakin genting.

Pemimpin yang zalim dan menyalahgunakan amanah yang diberikan serta menindas rakyat demi memuaskan nafsu sendiri perlu digantikan dengan mereka yang benar-benar telus dan jujur untuk memimpin.

Allah SWT telah memberi peringatan-Nya berdasarkan surah an-Nahl ayat 90 yang (bermaksud):

"Sesungguhnya Tuhan memerintahkan supaya menjalankan keadilan, berbuat kebaikan dan memberi kepada kerabat-kerabat dan Tuhan melarang perbuatan keji, perlanggaran dan penderhakaan. Dia mengajar kamu supaya kamu mengingat."

Ayuh kembali kepada manual kehidupan dunia dan akhirat kita, al-Quran dan as-Sunnah, sebagai menyambut seruan Allah SWT agar kembali kepada keduanya jika ada perkara yang kita persilihkan.

Sesungguhnya keadilan di muka bumi Malaysia ini tidak akan tertegak selagi mana al-Quran dan as-Sunnah tidak dijadikan sumber rujukan pemerintahan. Sama ada Islam memerintah atau kita akan terus dizalimi, pilihan di tangan anda.


MUHAMMAD HAFIZ MANSOR timbalan presiden Kelab Ma'ruf UIAM.