Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS Wilayah Persekutuan (WP) mengalu-alukan kehadiran YB Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS dan rombongannya ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 27 Mei 2012.

Program lawatan sehari ini bertujuan meninjau persiapan jentera PAS negeri-negeri bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Bagi PAS WP, kehadiran presiden bersama YB Salahuddin Ayub naib presiden PAS, YB Datuk Mahfuz Omar naib presiden PAS, YB Siti Zailah Mohd Yusoff ketua Dewan Muslimat PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketua penerangan PAS, YB Dr Hatta Ramli pengarah pilihan raya PAS amat dinanti-nantikan.

Sudah tentu kehadiran pimpinan Pusat PAS akan menambahkan lagi semangat para petugas di seluruh peringkat serta penyokong PAS WP.

PAS WP telah bersedia sejak setahun yang lepas bagi mempersiapkan jentera bagi menghadapi ibu segala pilihan raya ini.

Dengan empat buah Parlimen yang diamanahkan untuk PAS bertanding - iaitu Titiwangsa, Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan - dan dengan sokongan dari kawasan-kawasan bantu, juga mood rakyat yang sedang memihak kepada Pakatan Rakyat, tidak ada halangan buat PAS mempersiapkan semaksimum mungkin persiapannya.

Pastinya jadual rombongan presiden akan padat dengan segala aktiviti yang disusun supaya rakyat khususnya pengundi dapat berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan pimpinan Pusat.

Kehadiran rombongan pimpinan Pusat akan bermula jam 10 pagi dengan taklimat dalaman jentera pilihan raya PAS WP. Kemudiannya pada jam 5 petang presiden akan berkonvoi menemui penduduk Kampung Padang dan Sungai Baru di Kampung Baru.

Antara majlis utama di sini adalah serahan borang PAS oleh bekas-bekas ahli dan pemimpin Umno. Presiden PAS juga akan berdialog dan beramah mesra dengan penduduk di sini.

Setelah itu, rombongan presiden akan berkonvoi menemui peniaga-peniaga di Pasar Chow Kit. Dianggarkan seramai 200 orang peniaga pasar Chow Kit akan menyerahkan borang PAS kepada Presiden PAS.

Selain beliau, konvoi ini akan turut disertai oleh Vincent Lee, timbalan pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS.

YB Mahfuz dan YB Haji Salahuddin pula akan meraikan pengunjung-pengunjung di Taman Tasik Keramat pada jam 5 petang pada tarikh yang sama.

Di samping beriadah, mereka juga akan bersama mengedarkan risalah serta menyampaikan ucapan ringkas. Usai itu, mereka akan ke Pasar Datuk Keramat dan sekitarnya untuk beramah mesra dengan peniaga serta minum petang bersama mereka.

Tuan Ibrahim bersama YB Ustazah Siti Zailah pula akan berkunjung ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cochrane Perkasa bagi mengadakan dialog dan hi tea bersama penduduk setempat pada jam 5 petang pada tarikh yang sama.

Dijadualkan mereka akan menerima borang keahlian PAS dari penduduk-penduduk PPR tersebut.

Tuan Ibrahim meneruskan jadual program dengan terus ke Putrajaya bagi menyampaikan kuliah Maghrib di sana. Segala persiapan diatur oleh PAS Parlimen Putrajaya bagi menyambut kehadiran ketua penerangan.

Selepas solat maghrib, beliau akan bersama jentera PAS mengedarkan risalah di samping menyampaikan ceramah ringkas dari satu tempat ke satu tempat yang lain di sekitar Parlimen Putrajaya.

Majlis tidak berakhir di situ, sebaliknya dua Pidato Umum "Menjelang Bubar Parlimen" akan menutup tirai rombongan presiden. Pertama, pidato akan diadakan di Parlimen Titiwangsa bertempat di Padang awam, Blok A Desa Pandan.

Antara penceramahnya presiden, YB Salahuddin, YB Mahfuz, YB Dr Hatta dan Mohamad Noor Mohamad, pesuruhjaya PAS WP.

Pidato kedua pula akan diadakan di lokasi berbeza iaitu di Jalan Rejang 6, Taman Setapak Jaya, Setiawangsa.

Penceramah adalah YB Salahuddin Ayub, YB Mahfuz Omar, YB Dr Hatta, YB Siti Zailah dan Nuridah Saleh. Presiden PAS dijangka akan turut menerima borang keahlian PAS dari anak-anak muda sekitar Parlimen Titiwangsa pada malam itu.


MOHAMAD SUHAIMI ABDUL AZIZ ketua penerangan PAS Wilayah Persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS