Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

TERAS membantah dengan keras penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang bakal melibatkan lebih 105,000 ekar Tanah Rizab Melayu (TRM) dalam Felda.

Jika penyenaraian ini diteruskan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, orang Melayu akan kehilangan TRM yang sangat luas tanpa jaminan bahawa ia akan diganti sepertimana yang diperundangkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

TERAS melihat tindakan ini sebagai suatu pengkhianatan yang jelas terhadap masa depan orang Melayu. Penyenaraian hartanah dalam Bursa Malaysia yang menjadi aset penting kepada orang Melayu bakal melihat tanah milik orang Melayu dengan mudah berganti tangan kepada bukan sahaja orang bukan Melayu dalam negara malah orang dari luar negara.

Ini adalah suatu tindakan yang tidak boleh dibenarkan. Kami menuntut supaya kerajaan menjelaskan dengan terperinci status TRM dalam penyenaraian yang akan dilaksanakan walaupun bantahan terus diketengahkan oleh peneroka.

TRM yang sedia ada di negeri-negeri semakin mengecil akibat banyak tanah yang diwartakan sebagai TRM telah dikeluarkan dari warta tersebut tetapi tidak diganti.

TERAS berpendirian kerajaan negeri bertanggungjawab untuk memastikan TRM dipertahankan dan sepatutnya menolak penyenaraian FGVH yang melibatkan TRM di negeri masing-masing.

Sehingga ini, kerajaan masih tidak menjelaskan secara telus kedudukan TRM dalam penyenaraian FGVH. Ini bermakna TRM akan terdedah kepada manipulasi harga dalam Bursa Saham tanpa dapat dijamin bahawa pindahmilik kepada orang bukan Melayu tidak berlaku.

TERAS meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan yang sedia ada jika TRM dalam Felda akhirnya lenyap. Kehilangan TRM sepanjang 54 tahun Negara ini Merdeka adalah gara-gara kegelojohan kerajaan dibawah kepimpinan yang terlalu bernafsu untuk memanipulasi TRM untuk kepentingan segelintir konglomerat kapitalis yang tidak kisah dengan nasib masa depan orang Melayu.

Keluasan TRM dalam Felda bakal hilang tanpa disedari kerana pembelian saham dengan nilai yang tidak menentu dalam Bursa Malaysia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Mewujudkan Golden Share dalam sesuatu syarikat dalam Bursa Malaysia tidak menjamin aset TRM boleh kekal. Ini adalah kerana aset yang sudah dicairkan dalam bentuk saham boleh berpindah tangan mengikut aliran pasaran.

TERAS menuntut supaya kerajaan negeri menolak TRM dilibatkan dalam penyenaraian FGVH. Kerajaan negeri tidak sepatutnya tunduk kepada kehendak pejabat PM dalam penyenaraian FGVH terutama yang berkait dengan soal tanah. Kerajaan negeri berkuasa penuh ke atas tanah yang berada di negeri masing-masing.

TERAS menuntut supaya penyenaraian FGVH dibatalkan terutama yang melibatkan TRM. Selagi kedudukan TRM tidak jelas dalam penyenaraian tersebut, peneroka Felda wajar menyuarakan bantahan demi masa depan hartanah orang Melayu.

TERAS menegaskan kehilangan TRM akibat tindakan gelojoh kerajaan BN adalah antara pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan oleh rakyat.

TRM yang dipertaruh kepada syarikat Perancis yang berkait dengan Yahudi adalah antara Dosa Besar Kerajaan BN yang tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Kami menuntut supaya sebuah Fatwa dikeluarkan dalam isu ini. Kehilangan tanah milik orang Islam yang berlaku di negara ini adalah mirip kehilangan tanah orang Palestin yang berpindah tangan kepada orang Yahudi. Pihak Majlis Fatwa Kebangsaan wajar bersidang untuk membincangkan isu ini dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Kami mendapati kuasa yang dimandatkan kepada kerajaan sekarang untuk menjamin status TRM sudah lama disalahguna. Bukan sahaja TRM banyak dibatalkan pewartaannya secara tidak telus, malah saiz dan lokasi TRM yang diganti tidak pernah didedahkan kepada awam.


Mohd Azmi Abdul Hamid merupakan presiden kepada NGO Teras Pengupayaan Melayu. Tulisan ini merupakan pandangan peribadinya dan tidak melambangkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS