Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
K'jaan boleh tarik balik pinjaman PTPTN bila-bila masa

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) sebagai sebuah organisasi anak muda hari ini ingin menyelar tindakan flip-flop kerajaan Umno BN yang cuba bermain tarik tali dan berpolemik tentang pinjaman PTPTN kepada dua institut pengajian tinggi yang dinaungi Kerajaan Selangor iaitu Unisel dan KUIS.

AIC hairan bagaimana sebagai sebuah kerajaan yang menguruskan aspirasi rakyat dan pembinaan masa depan, bertindak bodoh dengan mengugut masa depan anak-anak muda hanya kerana berbeza polisi dengan musuh politik.

Seharusnya BN lebih ampuh untuk menegakkan dasar pendidikan mereka, bukan dengan membekukan pinjaman PTPTN dan membuat kenyataan dangkal bahawa tindakan itu sebagai peluang Pakatan Rakyat melaksanakan pendidikan percuma.

Pada perkiraan awal, BN menjangkakan golongan mahasiswa yang terlibat akan cemas dan panik lalu menolak dasar pendidikan percuma dan mengangkat PTPTN sebagai tunjang yang membolehkan pendidikan tinggi berlangsung.

Namun melihat kepada kebarangkalian dan kemampuan kerajaan Selangor untuk menyelesikan masalah tersebut, melalui pengumuman Unisel akan mencairkan aset bagi membantu mahasiswa ini, BN mula cemas dan mengubah taktik.

Ini ditambah dengan sentimen anti kerajaan Umno BN yang mula membahang di laman sosial terutamanya Twitter. Malah wujud pendapat tidak senang dari pimpinan Umno BN sendiri berikutan langkah kurang bijak dari Datuk Seri Khaled Nordin selaku Menteri Pengajian Tinggi.

Maka hari ini, melalui SMS yang disahkan pegawai PTPTN bahawa pejabat menteri telah mengeluarkan arahan pembekuan ditarik semula.

Namun apa yang Khaled Nordin dan BN tidak buat perkiraan adalah rakyat telah sedar bahawa rejim ini pada bila-bila masa yang mereka kehendaki boleh menyekat dan menarik balik keperluan dan hak rakyat begitu sahaja.

Rakyat menyedari BN sedang menguruskan sebuah zaman yang nyata berbeza, zaman yang dipenuhi anak muda idealis dan berani untuk melawan kezaliman.

Sebarang tindak-tanduk melampau dan bodoh oleh pemerintah pasti akan disambut dingin dan menemui jalan sempit untuk dilaksanakan. Hari ini telah membuktikan bahawa tekanan hebat oleh rakyat terbanyak membuatkan kerajaan lemah ini kecut perut dan menjilat ludah mereka sendiri.

AIC percaya zaman untuk menggunakan rakyat sebagai tebusan politik telah berakhir. Saat ini AIC yakin lonjakan sokongan yang datang dari golongan atas pagar terhadap ketelusan Pakatan Rakyat, telah meningkat pada satu tahap yang membanggakan. Riwayat pemerintah zalim bakal berakhir atas satu kesilapan yang mereka sengajakan.


SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD merupakan presiden Anwar Ibrahim Club Malaysia. Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS