Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan sebuah universiti kerjasama pendidikan awam dengan kampus utama yang terletak di Shah Alam.

Ia universiti terbesar di Malaysia dari segi saiz dan enrolmen pelajar dan satu-satunya universiti awam yang menjalankan pengambilan dua kali setahun.

Kemasukan universiti terbuka kepada Bumiputera dan pelajar antarabangsa sahaja, kecuali bagi program-program persediaan yang dijalankan di Pusat Pendidikan Antarabangsa (INTEC).

Dasar ini dilindungi menurut kuasa Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

Kita menerima aduan daripada ibu bapa pelajar Bumiputera Sarawak yang mengatakan sukar bagi anak mereka masuk ke universiti tersebut disebabkan status bangsa.

Terutama sekali jika ibu mereka bukan Bumiputera tetapi bapa pula Bumiputera asal Sarawak. Keturunan selalunya diikut daripada sebelah bapa bukannya ibu.

Apakah taraf status sebenar "Bumiputera" yang dibenarkan oleh UiTM dalam pengambilan pelajar Bumiputera dari Sarawak?

Adakah kedua ibu bapa pelajar mesti bumiputera sepenuhnya? Bagaimana pula sekiranya bapa pelajar Bumiputera berkahwin dengan ibu yang bukan Bumiputera? Adakah anaknya tidak diiktiraf sebagai Bumiputera?

Inilah persoalan yang sering timbul kepada pelajar Bumiputera Sarawak yang ingin melanjutkan pelajaran ke UiTM.

Ibu bapa pelajar dari Sarawak khususnya amat kesal dengan sikap pengurusan UiTM dalam urusan pengambilan pelajar baru dari Sarawak disebabkan status ibu bapa mereka.

Kita mendesak agar pihak kementerian pelajaran dapat menjelaskan dengan segera taraf status Bumiputera yang sebenarnya agar tidak menyusahkan pelajar bumiputera Sarawak dari terus terpinggir dari pelajaran.

Jangan pinggirkan atau diskriminasi pelajar Bumiputera dari Sarawak untuk sama-sama maju ke hadapan bersama pelajar dari semenanjung kerana Sarawak juga sebahagian daripada Malaysia.

Berlaku adillah kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik demi masa depan

pelajar tersebut nanti.


JOFRI JARAIEE timbalan pesuruhjaya PAS Sarawak dan yang dipertua PAS Miri.

ADS