Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS menyokong penuh dan bersetuju dengan saranan Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, YB Dr Abdul Rani Osman supaya para petugas parti yang terlibat secara langsung untuk menggerakkan jentera parti bagi menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 supaya ‘menangguhkan' hasrat untuk menunaikan haji pada tahun ini sekiranya terpilih.
Ini kerana keperluan untuk menukar pemerintah di peringkat pusat sekarang ini terlebih penting di dalam pilihan raya nanti supaya rakyat akan dapat diselamatkan daripada penindasan dan kezaliman pemimpin Umno dan BN selama ini.
Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS menganggap isu sensasi berkenaan penangguhan pemergian haji ini bukanlah isu yang besar sekiranya Umno dan BN mengamalkan sikap politik yang bertamadun.
Sekiranya sejak awal lagi sudah ditetapkan tarikh untuk pembubaran Parlimen dan persediaan untuk menghadapi pilihan raya maka ia akan menyelesaikan banyak perancangan-perancangan pelbagai pihak.
Tetapi Umno dan BN sememangnya spesis penakut dan pengecut yang hanya mahu mendapat kelebihan di atas kesusahan dan kepayahan orang lain.
Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS juga menyelar beberapa kenyataan dangkal pemimpin-pemimpin Umno yang cuba untuk mengambil kesempatan menjadi populis di atas isu ini.
Sememangnya sifat orang yang suka bermuka-muka dan berpura-pura akan terserlah apabila cuba mengeksploitasi isu agama sedangkan dalam masa yang sama merekalah juara di dalam menghina agama mereka sendiri sama ada dalam bentuk tindakan, pemikiran, kenyataan dan tingkah laku.
Oleh itu, Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS amat bersetuju dengan saranan Dr Rani supaya pemimpin, pembodek dan penjilat Umno perlu ‘menadah kitab' untuk belajar berkenaan dengan kitab Fikah Keutamaan karangan Dr Yusuf Al Qardhawi bagi lebih memahami tuntutan dan kepentingan sesuatu perkara di dalam Islam.
MOHD SANY HAMZAN ketua pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS.
