Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Antara prinsip asasi yang diperjuangkan oleh risalah nabi dan rasul utusan Allah, selain risalah keesaan dan hari pembalasan, juga supaya mereka berlaku adil, tidak menzalimi sesama sendiri terutamanya ke atas golongan yang lemah, serta menghormati kemuliaan manusia atas dasar persaudaraan.

Atas dasar ini juga, agama Islam sebagai penutup kepada risalah Ilahi yang dibawa oleh para rasul terdahulu juga meneruskan prinsip-prinsip tersebut.

Maka, unsur keadilan dan juga menaruh belas menjadi salah satu tema utama dalam Syariat Islam. Ia selaras dengan nama-nama suci Allah sebagai al-‘Adl (yang Maha Adil), al-Rahim (yang Maha Pengasih), al-Muhsin (yang Maha Belas) dan juga al-Muqsit (yang Maha Saksama hukuman-Nya).

Firman Allah SWT:

(a) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (al-Nisa', 4:58).

(b) "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya." (al-Nahl[, 16:90).

(c) "Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diri-Nya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): Bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian dia bertaubat sesudah itu dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (al-An'am, 6:54).

(d) "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan." (Hud, 11:113]).

Berteraskan prinsip-prinsip ini jugalah Islam menekankan prinsip kedaulatan undang-undang sebagai teras kepada perlaksanaan hukum-hakam kanun syariah seperti prinsip-prinsip berikut:

  1. Setiap manusia adalah tidak bersalah selagi mereka tidak dibuktikan bersalah melalui penghakiman yang adil di mahkamah.

  2. Setiap manusia itu sama setaraf dan berhak menerima pengadilan yang adil di dalam undang-undang.

  3. Setiap pendakwaan ke atas orang yang tertuduh mestilah disertai dengan bukti di luar kesangsian, manakala pihak yang tertuduh pula berhak mendapat pembelaan terhadap dirinya.

  4. Setiap individu yang tidak bersalah tidak boleh didera, diseksa dan dicabuli kehormatan mereka di atas alasan penahanan ataupun penyiasatan.

  5. Hukuman ke atas pesalah yang telah dibuktikan bersalah melalui penghakiman yang adil hendaklah setimpal dan selari dengan apa yang telah digariskan oleh undang-undang, dan tidak boleh dikenakan apa yang tidak patut diterimanya.

Berdasarkan premis yang telah disebutkan di atas, maka MURSHID ingin menegaskan bahawa:

  1. Penahanan ke atas warga Malaysia dan warga asing di Kem Tahanan Kamunting bawah ISA tanpa dibuktikan bersalah di penghakiman yang adil di mahkamah bersalahan dengan prinsip-prinsip umum Islam dan bertentangan dengan prinsip keluhuran undang-undang serta mencabuli hak asasi manusia merdeka di bumi Malaysia.

  2. Penyeksaan ke atas tahanan dan juga segala bentuk penderaan yang menjatuhkan maruah serta mencabuli kehormatan mereka seperti yang telah dilaporkan melalui para peguam para tahanan sekiranya benar juga bertentangan dengan Islam dan melanggar batas-batas kemanusiaan.

  3. Penafian hak ke atas tahanan dari membela diri mereka dari tuduhan yang dikenakan dan juga ugutan yang dikenakan ke atas mereka dan ahli keluarga mereka dari mengambil tindakan undang-undang untuk membela diri adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan individu di dalam artikel 5 Perlembagaan Malaysia dan menyanggahi Syariat Islam yang mulia.

  4. Usaha para tahanan di Kem Kamunting melancarkan mogok lapar demi mendapatkan hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan, undang-undang dan Syariat Islam sah di sisi hukum Syarak, dan merupakan jihad mempertahankan prinsip dan hak mereka yang dicabuli tanpa sebarang pembelaan.

MURSHID juga ingin menyeru agar:

  1. Perdana menteri agar mengotakan janji yang pernah beliau buat sewaktu ucapan menyambut Hari Malaysia pada tahun 2011, iaitu untuk memansuhkan ISA. Perdana menteri perlu tuntas dengan janji transformasi, mengotakan apa yang telah dikata dan membuktikan slogan beliau, "Janji ditepati". Maka ISA perlu dimansuhkan segera, kem Kamunting hendaklah segera ditutup dan para tahanan dibebaskan serta-merta.

  2. Pihak kerajaan segera melepaskan para tahanan di kem Kamunting dan bawa mereka ke muka pengadilan jika mereka menghadapi apa-apa pertuduhan. Mereka juga perlu diberikan peluang untuk membela diri melalui mekanisme undang-undang yang dibenarkan.

  3. Pihak kerajaan juga harus menubuhkan satu suruhanjaya kebenaran dan konsiliasi untuk menyiasat dan memberikan keadilan kepada pihak yang sepatutnya.

  4. Pihak pegawai yang terlibat di dalam menyeksa tahanan segera berhenti melakukan tindakan kejam dan zalim mereka. Kami menyeru agar mereka takutkan Allah dan hari pembalasan. Kami juga menyeru agar mereka segera bertaubat dan kembali ke jalan agama Allah yang meninggikan konsep ihsan, rahmah dan kasih sayang.

  5. Pihak Kem Kamunting berhenti menekan dan melayan tahanan mereka secara kasar kerana tindakan mogok lapar mereka, dan kembalikan hak semua tahanan sebagai manusia yang merdeka selari dengan artikel 5 perlembagaan Malaysia dan juga prinsip-prinsip keadilan Islam. Kami mengingatkan mereka tentang mahkamah Allah di akhirat nanti yang akan menantikan mereka untuk dibalas dengan hukuman yang setimpal jika mereka berterusan menzalimi para tahanan.

  6. Pihak media membuat liputan mengenai nasib para tahanan dengan adil, saksama dan mengutamakan jurnalisme beretika di dalam membuat liputan. Pihak media mempunyai peranan yang besar di dalam usaha menegakkan kebenaran dan keadilan.

  7. Pihak masyarakat sivil untuk tampil menegakkan kebenaran dan juga bersama menggesa agar penyeksaaan dan penderaan dihentikan serta kesemua tahanan ISA dibebaskan dan dibawa ke muka pengadilan jika mereka menghadapi apa-apa pertuduhan.

  8. Pihak ulama dan ilmuwan agama, serta kesemua para mufti berani tampil untuk menegakkan prinsip keadilan Islam serta memperjuangkan nasib mereka yang dizalimi di atas nama Islam dan kemanusiaan. Anda semua akan dipersoalkan di akhirat nanti di atas ilmu yang anda miliki, apakah tuntutan ilmu tersebut telah dilaksanakan untuk membela golongan yang dizalimi dan menentang segala bentuk kezaliman.

MURSHID secara tuntas menyeru agar semua pihak di Malaysia, tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa untuk bersama-sama menegakkan prinsip keadilan di bumi Malaysia agar kesemua rakyat Malaysia dapat hidup bersama secara harmoni dan aman damai.


MULTAQA ASATIZAH DAN DU'AT (MURSHID) perkumpulan 20 orang ilmuwan dan pendakwah Islam. Ahli akademik terkenal Dr Maszlee Malik bertindak sebagai jurucakapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS