Bulan Ogos sinonim dengan kita sebagai bulan kemerdekaan. Pada bulan ini berbagai program dirancang seperti perarakan, ceramah dan persembahan seni.
Kemuncaknya sama ada 31 Ogos Hari Kemerdekaan ataupun 16 September Hari Malaysia.
Namun seperti yang kita maklum program ini banyak bersifat hiburan dan mampu mencapai makna merdeka.
Merdeka bukan sekadar pembebasan fizikal namun jiwa rakyat sendiri perlu merdeka.
Merdeka jiwa bermakna bebas dari pengaruh pemikiran, ekonomi dan pendidikan. Jiwa merdeka mampu membina sistem sendiri dan mengambil perkara yang baik daripada luar.
Pendidikan adalah satu medium yang sangat penting dalam melahirkan jiwa merdeka. Setakat ini subjek sejarah dilihat sebagai penting dan rakyat perlu dididik menghargainya.
Tanpa pemahaman terhadap sejarah, kita takkan mampu menghargai kebebasan yang dikecapi malah akibatnya pada masa kini kita akan berasa rendah diri yang terlampau merasakan diri kita tak pernah mencapai apa-apa kejayaan.
Selain belajar perkara mengenai bagaimana Malaya merdeka dan juga pembentukan negara Malaysia, perlu pelajaran yang lebih mendalam tentang peranan Islam dalam pembentukan bangsa Melayu.
Perubahan terbesar pernah terjadi di benua kecil Asia Tenggara adalah dengan hadirnya Islam. Orang Melayu lupa akan hakikat itu atau tidak nampak kaitannya dengan perpaduan bangsa Melayu.
Malah perpaduan Malaysia juga terjamin sekiranya sejarah difahami dengan betul bukan ditafsir mengikut selera pemikiran masing-masing.
Perlu juga ditambah peranan Tamadun Cina dan India dan kaum-kaum lain dalam pembentukan Malaysia kerana itu yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik.
Apabila belajar tentang penjajahan peradaban Barat di Asia Tenggara, perlu penekanan kepada kesan negatif atau positif kedatangan mereka di rantau ini.
Malah perlu pengakuan daripada kita sendiri bahawa penjajahan masih belum berakhir terutamanya aspek yang disebut di atas iaitu pemikiran, ekenomi dan pendidikan.
Selain itu, pembacaan sejarah perlulah diperluaskan ke peringkat Asia Tenggara, bukan sekadar negara Malaysia kerana perkara yang berlaku punya kesan terhadap negara kita.
Akhir sekali, pemahaman yang lebih jelas tentang makna merdeka menjamin perpaduan dan pembinaan negara Malaysia yang lebih bahagia.
MOHAMMAD SYAZWANNUDDIN SHAHARUDDIN exco PKPIM.
