Langkah Tamrin bukti Umno semakin tak relevan

Pemuda PAS mengucapkan tahniah kepada Datuk Tamrin Ghaffar yang bersama-sama dalam saf perjuangan PAS.

Pemuda PAS menganggap Tamrin seorang yang berprinsip, tegas serta berani menghadapi risiko yang bakal dihadapinya dengan menyertai PAS.

Penyertaan Tamrin ke dalam PAS pastinya memberi suatu suntikan semangat kepada seluruh ahli dan pendokong perjuangan Islam di negara ini untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh.

Perjuangan Islam yang didokong atas dasar kebenaran dan keadilan secara ikhlas pasti akan diberikan ganjaran di sisi Allah.

Allah memberikan hidayah dan taufik kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Meskipun Tamrin telah lama bergelumang dalam Umno dan menjadi anak kepada bekas pemimpin tertinggi parti itu, namun akhirnya beliau sanggup mengenepikan segala keseronokan yang dinikmati semasa di dalam Umno hanya untuk menyertai perjuangan Islam melalui wadah PAS.

Ini membuktikan semakin ramai pemimpin yang sedar bahawa dasar perjuangan Umno telah jauh tersasar dari matlamatnya.

PAS disertai bukan sahaja oleh tokoh-tokoh bekas pegawai tinggi kerajaan, selebriti dan artis, malah terdiri daripada para pemimpin Umno.

Pemuda yakin, gelombang ahli dan pemimpin Umno meninggalkan perjuangan mereka dengan menyertai PAS akan berlaku suatu ketika nanti.

Bagi rakyat, Umno pada hari ini adalah untuk survival diri, keluarga dan suku sakat mereka sahaja berbanding dengan matlamat perjuangannya dahulu.

Malah tokoh besar seperti Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir yang bersama di dalam Umno dari awal kelahirannya turut isytihar keluar Umno kerana sedar dasar perjuangannya sudah jauh menyimpang dari asal.

Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, Pemuda PAS menyeru kepada semua pemimpin Umno yang lain agar mencari kebenaran dengan melihat kepada realiti dan petunjuk hidayah daripada Allah SWT untuk turut sama menurut jejak Tamrin keluar dari Umno dan menyertai PAS.


RIDUAN MOHD NOR adalah ketua penerangan Dewan Pemuda PAS.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.