Nasihat kepada profesor: Kaji, bukan buat andaian politik

Berhubung kenyataan Prof Dr Suhaimi Abu Talib yang disiarkan dalam Malaysiakini, berkenaan isu pemberian air percuma kepada rakyat di negeri Selangor jelas membawa sikap sebenar Umno dan BN yang tidak senang dengan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang ini.

Kenyataan yang dibuat itu menunjukkan bahawa profesor berkenaan tidak mengikuti perkembangan yang berlaku dalam negeri Selangor.

Pandangan Dr Suhaimi sangat tersasar apabila beliau mengatakan hasil kerajaan Selangor merosot setelah dasar air percuma dilaksanakan?

Apakah beliau tidak meneliti rekod rizab kewangan kerajaan Selangor sekarang ini berbanding rekod kewangan zaman BN?

Dulu BN tidak memberikan air percuma, tidak ada skim khairat kematian RM2,500, tidak ada hadiah RM1,000 masuk universiti, tidak ada skim anak kelahiran Selangor, tidak ada bantuan tadika, tidak ada skim taska, tidak ada pemeriksaan kesihatan percuma, tidak ada skim pembiayaan perniagaan MIMBAR, tidak ada kebajikan kepada rakyat.

Tetapi mengapa rizab selangor sewaktu BN memerintah hanya berjumlah sekitar RM300 juta?

Sedangkan apabila Pakatan berikan berbagai kebajikan kepada rakyat Selangor termasuk air percuma, tiba-tiba rizab kewangan kerajaan Selangor meningkat mencecah melebihi dua billion Ringgit. Apa asas Dr Suhaimi bila mengatakan kemudahan infrastruktur terabai?

PAS Selangor melihat beliau cuba mempertahankan dasar BN yang jelas gagal dalam mengurus kewangan negeri. PAS Selangor tekankan bahawa matlamat kerajaan adalah bukan untuk berniaga dengan rakyat.

Tanggungjawab kerajaan memerintah untuk menjaga dan memberi kebajikan kepada rakyatnya sebaik mungkin.

Dengan sebab itu kita percaya rakyat boleh menilai dan membezakan antara dasar Pakatan dan dasar BN.

Kita minta Dr Suhaimi agar dapat mengkaji rekod yang ada, bukan membuat andaian politik semberono, sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang profesor.


MOHD KHAIRUDDIN OTHMAN setiausaha PAS Selangor.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.