Patriotik dengan pendidikan, bukan paksaan

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah tindakan kerajaan mengerahkan penjawat awam untuk menghadiri program yang dianjurkannya.

Ini berikutan surat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengerahkan kakitangannya menghadiri program Himpunan Janji Ditepati pada 31 Ogos 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

DPPM menganggap tindakan kerajaan sebagai menyalahgunakan kuasa terhadap penjawat awam bagi menghadiri acara keraian negara.

Dalam keadaan penjawat awam diperah untuk bekerja di siang harinya, mereka pula dipaksa untuk menghadiri program yang di luar daripada bidang tugas mereka.

Apakah dengan cara ini sebagai menyemai semangat patriotik terhadap rakyat khususnya penjawat awam terhadap negara?

DPPM bimbang dengan tindakan ini bukan dapat menyemai semangat cintakan negara, sebaliknya akan menambah kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Kerajaan dianggap hipokrit kerana berusaha membuktikan kepada dunia rakyat cintakan negara dengan kehadiran yang ramai pada malam tersebut, walhal sebahagiannya dipaksa untuk hadir.

Rakyat juga akan merasa tertipu dengan sambutan hari kemerdekaan negara yang kononnya gilang gemilang dan dihadiri oleh rakyat pelbagai kaum, hakikatnya sebahagiannya diisi oleh kakitangan yang dikerah hadir.

Sepatutnya program ini dianjurkan secara terbuka dengan penyertaan daripada orang awam. Dengan promosi besar-besaran daripada semua media sepatutnya kerajaan tidak perlu mengerah tenaga tambahan daripada kakitangan awam untuk menghadiri program tersebut.

Kakitangan awam digalakkan untuk hadir, dan terpulang kepada mereka untuk hadir atau tidak. Tidak perlu mewajibkan mereka hadir dengan rekod kehadiran dicatatkan.

Justeru itu, DPPM menggesa kerajaan menghentikan tindakan mengerahkan kehadiran penjawat awam untuk hadir himpunan Janji Ditepati pada 31 Ogos 2012.

DPPM menegaskan patriotik perlu disemai secara pendidikan, kempen serta promosi terhadap rakyat, bukan secara paksaan seperti ini.


RIDUAN MOHD NOR ketua penerangan Dewan Pemuda PAS.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.