Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya membaca huraian penulis di Malaysiakini yang menjawab kenyataan YB Datuk Mukhriz berkenaan bidaan AP.  Penulis itu bernama Rafizi Ramli yang saya percaya Pengarah Strategi PKR yang mula-mula menimbulkan isu AP dibida, pada saya sangat mudah untuk pengaruhi orang ramai bahawa YB Datuk Mukhriz telah membuat jawapan yang salah tentang isu bidaan yg dibawa oleh Rafizi sendiri.

Rafizi mengambil contoh Tony Pua membeli kereta dari luar dengan menggunakan AP yang diperuntukan oleh kerajaan kepada setiap Ahli Parlimen.

Dengan mudah, Rafizi mendakwa Tony Pua telah selamatkan RM60,000 berbanding jika beliau beli kereta dari syarikat pemegang AP. Kata Rafizi, senang-senang sahaja syarikat itu untung RM60k.

Oh sungguh mudah beliau hendak pengaruhi rakyat bahawa syarikat yg mendapat AP dgn senang akan untung RM60,000 jika ambil contoh jenis kereta yang dibeli oleh Tony Pua. Tidakkah Rafizi tahu bahawa syarikat itu perlu modal untuk menyediakan ruang pameran, pejabat, dan gaji kakitangan?

Selain itu ia juga melibatkan kos overhed seperti eletrik, air, caruman Kumpulan Wang Simpanan pekerja dan kos perubatan kakitangan, penyelenggaraan ruang pameran, alatulis dan lain-lain.

Silalah pergi ke Johor Bahru dan bilang sendiri berapa ramai kakitangan syarikat yang menjalankan perniagaan kereta import dan berapa syarikat lain yang betul-betul menjalankan perniagaan setelah dikurniakan AP kepada mereka.

Rafizi mudah katakan syarikat pemegang AP untung RM60,000 seolah-olah semuanya masuk poket tauke syarikat. Tidakkah Rafizi tahu setelah membayar cukai import (kastam) bagi kereta AP yang didakwanya 30 peratus itu, syarikat perlu bayar cukai pendapatan(HASIL) syarikat lagi?

Sepatutnya Rafizi kena kira semua itu dan jelaskan berapa yang tinggal kepada syarikat. Semua yg berniaga perlu untung. Kalau hendak bantu rakyat, buktikan dulu sebagai Ahli Parlimen tolak AP yang diberi khas kepada mereka.

Seperkara lagi Rafizi tidak memikirkan bahawa syarikat-syarikat itu juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan, dari penghantar surat hinggalah kepada akauntan. Ke mana mereka mahu pergi selepas tamat universiti jika perluang pekerjaan semakin sempit?

Golongan yang bangga dengan kereta import pula, rasakanlah.

Rasakanlah, mereka yang bangga dengan kereta import. Kamu buang wang negara keluar, maka patut kamu bayar balik kepada negara sebahagian wang yang kamu buang keluar itu. Kepada negara maknanya kepada kerajaan. Dan kerajaan gunakan wang itu demi faedah lain utk rakyat.

Jika kamu membeli kereta dipasang dalam negara maknanya kamu memang patut dikenakan cukai sedikit rendah kerana kamu buang sedikit sahaja wang itu keluar sebenarnya. Jika kamu beli Proton, lagi murah bayar cukainya kerana kamu tidak buang wang keluar negara langsung. Wang yang diperolehi oleh Proton itu masih berpusing dalam negara dan kerajaan masih dapat hasil lain dari wang itu kerana jika wang itu jatuh ke tangan siapa pun dalam negara ini, kerajaan akan dapat hasilnya bila tangan-tangan itu membelanjakannya.

Setiap kali ada perbelanjaan maknanya kerajaan dapat cukai bila wang itu bertukar tangan. Rafizi perlu faham hal ini kalau dia pakar ekonomi, dan jangan salahkan kerajaan memungut cukai-cukai itu, kerana negara maju juga memungut cukai setiap kali wang bertukar tangan (melalui perbelanjaan atau pembelian).

Rafizi juga membangkitkan, kononnya bayaran bidaan AP akan dibuat terus kepada kerajaan dengan memberi contoh jika Tony Pua sanggup membayar setakat RM90,000 bagi kereta tersebut, bidaannya bagi mendapatkan AP boleh mencecah RM40,000 memandangkan kos kereta hanyalah RM50,000 apabila cukai sudah dibatalkan.

Pada saya kenyataannya ini melucukan.

Jika ada orang bida RM41,000 pula, maknanya Pua tak dapat AP untuk beli kereta itu.

Jadi siapa yang bida RM41,000 itu sahaja dapat AP untuk kereta itu, maka hanya seorang individu sahaja yang boleh beli kereta jenis itu dan begitu juga dengan jenis kereta lain.

Hanya individu yang bida tinggi sahaja akan dapat AP - hanya satu buah sahaja untuk setiap jenis kereta. Ini sangat pelik. Oleh itu, jika orang yang membida paling tinggi sahaja dapat AP, mana yang dikatakan akan menurunkan harga kereta?

Sekarang ini bukan tidak ada kereta buatan Malaysia atau dipasang di Malaysia. Mengapa mereka hendak beli kereta import? Jadi bersedialah untuk membayar cukai yang tinggi jika hendak menggunakan kereta mewah yang diimport. Kereta nasional cukainya tidaklah tinggi mana. Belilah kereta nasional.

Dan bertambah sempitlah peluang pekerjaan bila syarikat-syarikat kereta import tutup sebab mereka yang dapat AP menguruskannya sendiri. Rafizi meminta Datuk Mukhriz supaya mememahami dengan mudah idea ini, tapi apa yang Mukhriz fahami ialah Rafizi tiada isu lain untuk dimainkan bagi mendapatkan sokongan kepada Pakatan. Itu sahaja.

Apa pun saya juga mahu kerajaan memantau perjalanan pemberian AP supaya kerajaan tidak lagi mengeluarkan AP kepada syarikat yang tidak menjalankan perniagaan kereta import betul setelah mendapat AP. Bagi yang benar-benar jalankan perniagaan dengan betul,kerajaan perlu teruskan mengeluarkan AP kepada mereka bagi mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

Elok Rafizi cadangkan idea dia itu kepada kerajaan Singapura. Bertuahnya rakyat kita tidak terlalu susah untuk mempunyai kereta sendiri. Jauh sekali rakyat kita hendak beli kereta yang didaftarkan untuk kegunaan sebelah malam dan hujung minggu serta hari cuti umum sahaja kerana tidak mampu daftar untuk kegunaan setiap masa seperti di Singapura. Bersyukurlah apa yang diperolehi sekarang.

Saya lihat tidak perlulah timbalan menteri atau menteri menjawab semula kenyataan Rafizi kerana menteri akan dilihat bodoh jika melayan hujah orang yang bodoh. Saya sendiri tidak akan menjawab lagi jika Rafizi mengkritik kenyataan saya ini kerana saya tidak mahu dilihat bodoh jika Rafizi kenyataan saya ini kerana saya tidak mahu dilihat bodoh sekiranya terus melayan kenyataan bodoh Rafizi.

Syed Hassan Syed Ali merupakan setiausaha agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia. Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS