Pulau Pinang dicadang anjur Festival P Ramlee

Angkatan Muda PKR Pulau Pinang (AMKPP) hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, agar kerajaan Pusat menamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa P Ramlee.

Cadangan ini usaha murni dalam menghargai jasa Tan Sri P Ramlee yang merupakan anak jati Pulau Pinang yang telah mencipta nama di persada antarabangsa dengan 66 buah filem dan lebih 360 buah lagu ciptaan beliau.

AMKPP dalam masa yang sama ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, untuk menganjurkan Festival P Ramlee; sebagai acara tahunan, termasuk penganugerahan Anugerah P Ramlee untuk karya filem dan lagu tempatan yang baru.

Selain itu, dicadangkan juga siri seminar dan persembahan pentas dan tayangan dengan tujuan untuk menghidupkan legasi P Ramlee di Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya.

AMKPP yakin dengan penganjuran Festival P Ramlee akan menjadi satu galakan kepada penggiat seni tempatan untuk bersaing bagi menghasilkan karya bermutu dan terus menjadi satu tanda ingatan kepada generasi akan datang.

Ia mampu mengimbau kembali kejayaan dan kegemilangan karya-karyanya yang merupakan warisan tak ternilai negeri ini.


DR AFIF BAHARDIN naib ketua AMKPP.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.