Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada jam 3.30 petang di Hospital Universiti Sains Malaysia rombongan NGO Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas (ROYALTI) atau lebih dikenali sebagai "R" menziarahi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan.

Pertemuan yang diketuai oleh Dr Syed Khalid, naib presiden ROYALTI mendapat beberapa pesanan daripada Tuan Guru antaranya:

  • Rakyat Kelantan dan Malaysia kena turun beramai-ramai menyertai program Konvoi R Tuntut Royalti ke Putrajaya pada 2 dan 3 Oktober nanti anjuran ROYALTI.
  • Sekiranya tidak dapat hadir bersama-sama rombongan konvoi mega nanti, rakyat Kelantan diminta bersolat hajat dan berdoa agar perbicaraan kes Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 3 Oktober nanti memihak kepada kerajaan Kelantan.
  • Dan seboleh-bolehnya pakat ramai-ramai buat, kibar bendera dan pakai pelekat "R" pada kenderaan di seluruh Kelantan dan Malaysia.

 

Pada pertemuan tersebut Tuan Guru juga sudi untuk memakai baju-T "R" dengan menunjukkan simbol tangan "R" menggunakan bahasa isyarat orang Pekak bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan ROYALTI.

Perjuangan kami kini makin mendapat sokongan padu dari seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia termasuk NGO dari Terengganu, Sabah, Sarawak dalam usaha menuntut hak hasil bumi negeri dikembalikan seperti asal.

Justeru itu pihak ROYALTI mengajak seluruh rakyat Kelantan yang berada di seluruh negara untuk hadir beramai-ramai program:

(1) Konvoi Mega R Tuntut Royalti ke Putrajaya, 2 Oktober, perlepasan jam 7.30 pagi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu yang dijangka akan mengumpulkan lebih 600 buah kenderaan dengan penyertaan lebih 3,000 orang peserta seluruh Kelantan.

(2) Solat hajat dan ceramah mega R tuntut royalti ke Putrajaya, 2 Oktober jam 7 petang di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Selangor yang akan dihadiri oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

(3) Program himpunan sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan tuntut royalti pada 3 Oktober, jam 8 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya.

(4) Program serahan memorandum dan 150,000 referendum tandatangan rakyat Kelantan tuntut royalti kepada perdana menteri pada jam 2 petang, 3 Oktober.

(5) Program piket aman R tuntut royalti di menara Petronas, KLCC pada jam 6 petang 3 Oktober.

Program ini diatur bagi memberi signal kepada pemimpin Malaysia supaya perdana menteri menyatakan dengan tegas dalam pembentangan bajetnya pada 28 September agar membayar tuntutan royalti minyak dan gas negeri Kelantan yang tertunggak sejak 2004 hingga sekarang.

Nilainya dianggarkan minimum RM7 bilion kepada kerajaan negeri Kelantan.

Pihak "R" mendesak agar jawatankuasa bayaran tunai yang diumumkan pada 4 Ogos lepas melibatkan kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dibatalkan dan bayaran segera wang royalti/ bayaran tunai 5 peratus dibayar segera kepada akaun Kelantan.

Untuk itu pihak "R" ingin memohon respon daripada perdana menteri berkenaan memorandum menolak jawatankuasa bayaran tunai yang dihantar pada 7 Ogos lalu yang diserahkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan, agensi rasmi bawah Jabatan Perdana Menteri di Kelantan.

Pihak "R" menolak jawatankuasa ini memandangkan ia tidak dinyatakan dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian yang dimeterai antara kerajaan Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975.

Malah penyelesaian isu pembayaran wang royalti kepada kerajaan negeri Terengganu juga tanpa melalui jawatankuasa khas bayaran tunai.


DR SYED KHALID ABDULLAH naib presiden ROYALTI.

ADS