Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berasa terpanggil untuk membetulkan salah faham yang berlaku dalam kalangan masyarakat, mahasiswa dan media berhubung status kami sebagai sebuah entiti mahasiswa.

Dalam kehangatan suasana pilihanraya kampus (PRK) di institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara, media khususnya begitu rancak memainkan isu pertembungan antara kelompok mahasiswa Pro-Aspirasi (Pro-A) dengan Pro-Mahasiswa (Pro-M).

Secara umumnya, Pro-A dikenali sebagai kelompok mahasiswa yang bersama-bersama menyokong dan mendokong aspirasi kerajaan semasa manakala Pro-M pula dikenali sebagai golongan mahasiswa anti-establishment .

Tanpa menafikan pertembungan yang berlaku ini, PKPIM ingin menafikan keberadaan kami dalam Pro-M mahupun Pro-A.

PKPIM merupakan sebuah pertubuhan pelajar dan mahasiswa Islam yang ditubuhkan pada tahun 1961 dan kini berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

PKPIM juga merupakan badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM), Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT), International Islamic Federation of Students Organization (IIFSO), World Assembly of Muslim Youth (WAMY) dan United NGO's in Islamic World (UNIW).

Dengan motto "Hidup Biar Berjasa", PKPIM menumpukan perhatian dan aktivitinya terhadap aspek pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan.

PKPIM juga menafikan tuduhan sesetengah pihak mengatakan PKPIM sebagai proksi parti politik pembangkang.

PKPIM sebuah pertubuhan non-partisan. Bagaimanapun, kami tidak menafikan penglibatan kami dalam politik nasional, tapi bukan sebagai proksi mana-mana parti politik.

Berhubung PRK yang berlangsung baru-baru ini, ahli-ahli PKPIM yang bertanding di kampusseluruh Malaysia adalah calon bebas yang tidak terikat dengan mana-mana pihak, baik Pro-A mahupun Pro-M.

Malah, kami langsung tiada sebarang kesepakatan politik atau menjadi gabungan dalam mana-mana front .

Berkenaan dua kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh PKPIM dengan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) pada 23 dan 26 September yang lalu, itu kesepakatan atas prinsip yang diperjuangkan, dan bukan atas sebab gabungan entiti mahasiswa Pro-M sepertimana yang dilaporkan oleh sesetengah media.

Sebagai sebuah pertubuhan pelajar dan mahasiswa yang bebas dan nonpartisan, kesepakatan seperti itu bukanlah suatu kesalahan yang mencarik prinsip dan pegangan kami.

Kami juga berpartisipasi secara aktif dalam proses transformasi pendidikan negara oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, membangunkan pelajar dan mahasiswa dengan modul kepimpinan pelajar Islam bersama jabatan agama Islam negeri-negeri dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berhubungan baik dengan pertubuhan pelajar prokerajaan dan juga berhubungan dengan pertubuhan yang anti -establishment .

Bagi kami, tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapapun, asalkan dapat membangunkan masyarakat dan memberikan manfaat dan kebaikan kepada orang lain.

PKPIM sekali lagi menegaskan prinsip kami sebagai sebuah pertubuhan pelajar dan mahasiswa di peringkat kebangsaan yang bebas dan berpegang kepada prinsip serta idealisme mahasiswa.

Kami menegaskan, idealisme kemahasiswaan melangkaui fahaman dan ideologi politik kepartian sempit seperti yang diamalkan oleh sesetengah pihak.


MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH naib presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

ADS