Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang juga pengerusi Felcra dibidas kerana mengutamakan Badan Kebajikan Isteri-isteri Menteri (BAKTI) daripada membantu anak-anak pesawah padi di tanah rancangan Felcra Seberang Perak yang rata-rata berpendapatan di bawah paras kemiskinan.

Terdapat lebih 5,000 peserta yang terlibat dalam penanaman padi di Seberang Perak, daerah Kampung Gajah, Perak dan pendapat mereka tidak menentu dengan penjualan hasil padi mereka yang dibeli oleh pihak Felcra dengan harga yang rendah dari harga pasaran.

Pesawah mengeluh padi mereka dibeli dengan harga RM1,050 setan sedangkan harga pasaran dalam lingkungan RM1,250 hingga RM1,300 setan.

Mereka terus dihimpit kepayahan hidup apabila terpaksa membeli benih padi, baja dan racun serangga dengan harga yang tinggi dan keadaan ini menambah bebanan kewangan mereka sekeluarga.

Pada 15 September yang lalu, Tajuddin telah menyampai cek Felcra berjumlah RM100,000 kepada Rosmah Mansor, isteri Najib Razak dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Najib sendiri.

Ujar mereka sepatutnya Tajuddin memberikan sumbangan tersebut kepada anak-anak mereka yang lebih memerlukan, tambahan pula mereka berada dalam kawasan parlimen Pasir Salak yang lebih berhak mendapatkan peruntukan tersebut.

Tambah mereka BAKTI sudah mempunyai dana yang banyak dari sumbangan syarikat-syarikat korporat dan sepatutnya dana tersebut disalurkan kepada anak-anak mereka bagi meringan bebanan kewangan yang mereka hadapi.

PKR Pasir Salak melihat sumbangan dana tersebut lebih merupakan 'umpan' Tajuddin kepada Najib agar mengekalkan beliau sebagai calon di parlimen Pasir Salak dalam PRU13 yang akan datang .

Bagaimanapun rakyat di Pasir Salak boleh 'membaca' tindak tanduk Tajuddin untuk meraih sokongan dan kepercayaan pemimpin-pemimpin atasannya untuk dikekalkan sebagai calon sebaliknya meminggirkan penduduk-penduduk setempat yang juga merupakan pengundi-pengundi yang menentukan calon kalah - menang calon-calon yang bertanding.

Ujar mereka lagi, mereka akan menzahirkan ketidakpuasan hati mereka dalam PRU yang akan datang.


ABDUL RAZAK ISMAIL penyelaras PKR Parlimen Pasir Salak, merangkap naib ketua cabang PKR Pasir Salak.

ADS