Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rejim BN cuba mengalihkan isu polisi, kepayahan hidup rakyat, rasuah dan penyelewengan dengan isu tuduhan agen asing dan alat Amerika Syarikat (AS).

Secara senyap rejim BN membenarkan tiga kapal perang bertenaga nuklear milik AS berlabuh di Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Teluk Sepanggar, Sabah.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini menyatakan bantahan terhadap kebenaran kepada kapal perang ini, antaranya ialah kapal induk utama armada perang Amerika Syarikat USS George Washington.

SAMM mengecam sikap hiprokrasi regim BN dalam perkara ini.

Kebenaran berlabuh secara sulit ini akhirnya terbongkar juga. Apabila terbongkar ahli parlimen Pakatan Rakyat Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) membawa usul tergempar dalam parlimen bagi membincangkan perkara ini.

Namun sekali lagi BN yang kononnya bersikap anti-Amerika Syarikat dan menuduh lawan politik agen negara itu menolak usul tersebut melalui speaker yang jelas membuat keputusan berat sebelah.

Mereka sudah tentu gusar jika dibenarkan usul tersebut dibahaskan. Sudah tentu bukan sahaja terbongkar perihal kapal AS berlabuh tetapi banyak lagi data perselingkuhan negara ini bersama kuasa besar dunia itu akan terdedah.

Jika dibenarkan berbahas usul tersebut juga maka akan terbongkar sikap hipokrasi regim BN.

Sudah tentu tidak akan seorang pun yang akan berani mengutuk persinggahan kapal tersebut kerana AS pasti akan menghentikan talian hayat kepada BN.

Lebih penting, terbongkarlah sikap yang hanya berani berkokok di kampung sahaja mengenai anti-ASsedangkan di pentas antarabangsa dan pentas rasmi rejim ini kecut.

SAMM tidak menolak sebarang hubungan antara negara ini dengan AS, namun membenarkan pelabuhan negara untuk aktiviti ketenteraan sesuatu yang melampau.

Dengan membenarkan kapal berkuasa nuklear ini juga jelas rejim telah melanggar dasar negara (rantau ini) zon bebas senjata nuklear.

Setelah diteliti maka disedari sememangnya Malaysia bukan sahaja membenarkan pelabuhan Malaysia untuk AS mengadakan aktiviti ketenteraan.

Malah ada latihan ketenteraan di mana kumpulan tentera AS dibenarkan menggunakan negara ini sebagai latihan, termasuk latihan berskala besar.

Ketika pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, Malaysia secara sulit menandatangani perjanjian yang membenarkan AS untuk punya akses untuk menggunakan fasiliti pertahanan negara.

Sememangnya negara ini berada bawah telunjuk AS kerana kelemahan BN. Maka tidak hairan kerana hingga kini Malaysia tidak mengiktiraf kemenangan Hamas di Palestin serta berdagang membantu ekonomi Israel.

SAMM sekali lagi meminta rakyat membuka mata sikap hipokrasi rejim BN, yang berkokok menuduh orang itu dan ini rakan AS.

Ssedangkan mereka lupa ekor bergelumang tahi kerana merekalah sebenarnya lemah sehingga membenarkan AS menjalankan aktiviti ketenteraan dalam negara.


MOHD FAIZAL ABD RAHMAN penyelaras hubungan antarabangsa SAMM kebangsaan.

ADS