Umno menikus di hadapan MCA

Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha telah menempelak apabila saya menegaskan bahawa MCA adalah parti yang anti-Islam .
Saya melihat beliau pura-pura bertanya: "Adakah PAS juga menganggap DAP sebagai anti-Islam?"

Persoalannya, kenapa pula setiausaha agung MCA bertanya demikian? Bukankah pemimpin pemimpin MCA, terutamanya dalam media milik mereka The Star secara konsisten menegaskan kepada masyarakat non-Muslim bahawa "undi untuk DAP adalah undi untuk hudud"?

Ertinya MCA seperti mahu mengesahkan bahawa DAP menyokong hudud. Maka apa masalah DAP bersama PAS dalam Pakatan Rakyat? Dan apa perlunya PAS menganggap DAP anti-Islam pula? MCA yang sangat ketara sikap anti-Islamnya.

Pemimpin MCA juga selalu mengulang kenyataan bahawa "DAP tunduk kepada PAS".

Selayaknya tidak berbangkit persoalan yang dikemukakan oleh setiausaha agung MCA tersebut sebaliknya apa yang pasti ialah MCA sangat tegar menentang Islam.

Presiden MCA pada 23 September 2011 pernah menegaskan di hadapan para wartawan, jika Umno melaksanakan hudud, MCA akan keluar BN. Ekoran ugutan keras MCA, sehingga kini Umno terpaksa menikus demi kepentingan survival politik mereka.

Pada 4 Disember 2011, selepas merasmikan forum mengenai hudud di Wisma MCA, sekali lagi Datuk Seri Chua Soi Lek menegaskan bahawa Malaysia akan kehilangan pelabur dan negara akan binasa jika hudud dilaksanakan.

Malah beliau juga menekankan bahawa hudud tidak adil kepada semua khasnya kaum wanita di samping menyebut bahawa undang-undang Islam adalah kejam.

Menambah "kecutnya" Umno berdepan MCA ialah apabila presiden MCA itu menulis dalam Twitter pada 1 Julai 2012 (sebagai respon kepada ADUN Kemelah yang mencadangkan perlaksanaan hudud di Johor) bahawa:

"ADUN Umno Johor itu tentu sudah kehabisan idea dan hilang akal untuk mencadangkan hudud di Johor meliputi bukan Islam."

Dituduh hilang akal pun, Umno masih tidak mampu membentak MCA apa lagi mengambil apa-apa tindakan berkesan ke atas MCA agar tidak biadab terhadap Islam dan penganutnya seperti menuduh hilang akal, habis idea dan sebagainya.


NASRUDIN HASSAN ketua Pemuda PAS.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.