Bila Soi Lek beraksi kamikaze

Dr Chua Soi Lek seperti kerasukan apabila berterusan menyerang PAS dan peribadi YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai sasaran.

Isu hudud dikitar semula dan menjadi topik perbualan mereka, seolah-olah ia suatu ketakutan berpanjangan yang menghantui MCA selama ini. Ia juga menjadi modal untuk mereka menakut-nakutkan pengundi bukan Islam.

Dalam ucapan beliau di perhimpunan agung MCA, bukan hala tuju parti mereka yang menjadi teras ucapannya, tetapi serangan terhadap Pakatan Rakyat menjadi fokus utama. Sudah kering ideakah Dr Chua Soi Lek itu?

Yang menghairankan, MCA yang merudum sokongannya dan ditolak oleh masyarakat Cina di negara ini, PAS dan YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik menjadi mangsanya. Apa kaitan kegagalan MCA meraih sokongan pengundi Cina dengan PAS?

Sedangkan PAS tidak pernah menyerang MCA secara khusus. PAS juga tidak pernah membangkitkan sentimen perkauman dan keagamaan masyarakat bangsa lain.

Boleh disemak mana-mana ucapan pimpinan PAS, pernahkah PAS menghina dan merendahkan agama lain di negara ini? PAS sejak dahulu amat menghormati budaya dan masyarakat kaum di negara ini dan PAS amat menghargai kepelbagaian bangsa dan agama.

Sepatutnya begitu juga yang ada pada Dr Chua Soi Lek dan MCA. Mereka patut menghormati amalan agama Islam serta kaum yang lain. Mereka juga perlu menghormati pemimpin parti politik dan pemimpin kerajaan negeri Kelantan seperti YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Penghinaan beliau terhadap PAS, peribadi YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan syariat Islam adalah suatu pakej penghinaan keseluruhannya terhadap umat Islam, bangsa Melayu dan rakyat keseluruhannya di negara ini.

Bukan beliau tidak tahu bagaimana sayangnya rakyat Kelantan dengan peribadi YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz. Bagi rakyat Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz adalah ulama dan ikon yang disegani dan disayangi oleh seluruh rakyat jelata.

Menghina peribadi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bererti menutup terus pintu BN Kelantan dari meraih kemenangan.

Beliau juga bukan tidak tahu betapa marahnya umat Islam dengan penghinaan beliau terhadap agama Islam.

Mustahil beliau naif kenyataan beliau menyebabkan Umno turut dibenci oleh rakyat
terutama umat Islam di negara ini menganggap Umno gagal mengawal tingkah laku pimpinan komponennya dari mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati umat Islam.

Kenyataan daripada pimpinan MCA ini bukan setakat menggelapkan masa depan MCA bersama BN, malah akan terus menguburkan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.

Mungkin juga Dr Chua merasakan Umno dan BN sudah tidak ada harapan lagi untuk diselamatkan maka beliau terpaksa melakukan aksi kamikaze.

Mungkinkah ini juga suatu usaha mensabotaj Umno supaya mereka cepat karam sebelum PRU ke-13 lagi.


MOHAMAD SUHAIMI ABDUL AZIZ timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.