Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah sekeras-kerasnya penayangan filem My Name Is Khan di TV3 pada Hari Raya Aidiladha yang kedua.

Filem yang membawa mesej yang mengelirukan jelas tidak wajar ditayangkan oleh sebuah stesen televisyen utama Malaysia.

Watak utamanya dibawa oleh Datuk Shah Rukh Khan jelas menjengkelkan. Aksi beliau dalam cerita itu membayangkan tahap kefahaman pengarah, penulis skrip, dan pelakon mengenai Islam begitu memalukan.

Sebagai contoh, adegan hero yang berkahwin dengan heroin yang beragama Hindu jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampur aduk cara penyembahan agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan prinsip Islam.

Selain dari itu memberi zakat kepada mereka yang tidak beragama Islam juga adalah mengelirukan. Zakat hanya dibenarkan untuk asnaf yang tertentu dan tidak boleh diberikan sesuka hati.

Penerbit filem ini jelas cuba menjawab persoalan Islamophobia yang melanda Barat, tanpa memahami ajaran Islam dengan mendalam serta menghayati pokok pangkal permasalahan ini mengheret wajah Islam ke dalam kancah yang memalukan. Ia secara jelas membawa mesej ‘Islam Liberal'.

Faham Islam Liberal ini pekat dengan rasa apologetik dan menenggelamkan sumber asas dan mengenepikan pandangan ulama muktabar.

Begitu juga dengan nilai yang cuba disejajarkan dengan selera Barat yang menyisih intipati ajaran Islam itu sendiri.

Selain dari faham Islam Liberal itu, menyamakan kebaikan di sisi Islam dan agama lain adalah satu daripada teras aliran ‘pluralisme agama'. Mesej ini juga terkandung dalam filem ini.

Segala faham ini perlu diperhatikan secara dekat kerana ia boleh memesongkan fikiran umat Islam dan juga bukan islam dalam memahami ajaran Islam yang sewajarnya.

Faktor penayangan yang dibuat tatkala umat Islam menyambut hari Aidiladha juga menimbulkan persoalan ke mana hilangnya keprihatinan dan tanggungjawab pihak media dalam bahan siaran mereka.

Oleh itu ABIM mendesak agar penayangan filem ini dihentikan pada masa akan datang. ABIM juga mengingatkan kepada stesen penyiaran di Negara ini agar lebih peka dan sensitif terhadap bahan kandungan dan masa penyiaran bagi mengelakkan kontroversi di dalam masyarakat.

ABIM juga menggesa agar pengedaran CD filem ini dihalang serta merta.


AHMAD SAPARUDIN YUSUP naib presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS