Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam tempoh teka-teki tarikh pilihan raya umum ini, kelihatan BN cuba menyerang Pakatan Rakyat dengan isu air Selangor dan mengaitkannya dengan isu tajaan Soros.

Namun, kelihatan isu-isu kurang berjaya menggugat Pakatan dan kadang-kadang dilihat menjadi senjata makan tuan.

Saya melihat ada dua isu yang menjadi senjata ampuh bagi Umno/BN yang dilihat mampu mengugat Pakatan, iaitu isu hudud dan isu perpaduan.

Mengapa dua isu ini? Selepas tsunami politik 2008, dua isu ini yang sentiasa diulang tayang silih berganti dan dilihat berjaya menggugat kesepakatan parti-parti dalam Pakatan. Apabila bercerainya parti-parti dalam Pakatan, mimpi Umno/BN untuk terus berkuasa semakin cerah.

Kita lihat taktik permainan media BN dalam memainkan isu hudud. Mereka bermula dengan memetik kenyataan mana-mana pemimpin PAS berkaitan hudud, walaupun kenyataan itu hanya dibuat dengan ayat pendek dalam ceramah agama di masjid.

Lalu dibesarkan di muka hadapan akhbar. Kemudian wartawan upahannya akan minta respon dari pemimpin DAP yang tidak setuju dengan hudud. Perbezaan pendapat pemimpin PAS dan DAP ini lantas digembar-gemburkan seolah-olah perbalahan besar sedang berlaku.

Pendapat dari pemimpin Umno dan ulama mudanya akan disiar untuk melaga-lagakan lagi isu ini. Pemimpin Umno biasanya berlagak menjadi hero membela pendirian PAS menyokong hudud walaupun massa umum mengetahui pendirian sebenar presiden Umno.

Maka dalam PAS pun wujudlah golongan yang dilihat keras menyanggah pendirian pemimpin DAP itu dan golongan yang sedar ini mainan Umno dan tidak mengulas panjang.

Maka, sekali lagi media Umno cuba sebarkan persepsi tentang perpecahan dalaman PAS. Semakin banyak persepsi dicipta hingga akhirnya ada sebahagian rakyat terpengaruh.

Taktik yang sama juga pernah dibuat melalui isu perpaduan Melayu. Bermula dengan ucapan beberapa kerat pemimpin Umno yang tiba-tiba mengalunkan ayat-ayat indahnya perpaduan Melayu. Isu perkauman dimainkan.

Dalil-dalil Quran dan Hadis dibekalkan oleh ulama mereka untuk dilaungkan walaupun kadang-kadang tak betul sebutan Arabnya.

Selepas beberapa hari isu ini dimainkan di media mereka, mereka timbulkan respons beberapa pemimpin PAS yang dilihat menyokong "perpaduan" itu, walaupun ada kenyataan mereka yang diputar belit media.

Lalu digambarkan seolah PAS-Umno akan bersatu. Kemudian, mereka akan minta respons dari pemimpin PKR atau DAP. Apabila ada dari mereka yang dilihat mengkritik PAS, tiba-tiba fokus isu telah berubah.

Alunan indahnya perpaduan Melayu tidak lagi dilagukan, yang ada hanyalah berita-berita persepsi seperti "Pakatan Rakyat retak" dan "DAP ugut keluar Pakatan Rakyat".

Taktik ini bukan sahaja dapat menggambarkan Pakatan tidak kuat, malah berjaya mengkambinghitamkan beberapa pemimpin PAS yang dilihat 'properpaduan' dan memburukkan pemimpin ini di mata ahli-ahlinya.

Maka, nasihat saya kepada pemimpin PAS, PKR dan DAP, jangan cepat melatah dengan dua isu ini. Jangan terperangkap dalam jerat permainan musuh.

Isu hudud melibatkan isu agama, jika terus melayan pertelingkahan tentang isu ini, dibimbangi akan melarat kepada perbalahan agama. Suburkan diskusi antara agama untuk menerangkan perbezaan ini.

Juga tentang isu perpaduan Melayu, jangan mudah terpengaruh dengan lakonan Umno/BN kerana kita semua tahu Melayu mana yang mengkhianati Melayu.

Berdasarkan situasi sekarang, saya optimis dengan pendapat, untuk melihat semua sistem ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain di Malaysia kembali pulih, menjatuhkan kezaliman Umno/BN adalah langkah terbaik berbanding bersatu dengan Umno/BN, maafkan kesalahan lama, dan mulakan kesepakatan baru.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS