Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang (LPPAS) mempertikaikan sikap hipokrit Umno/BN dalam aspek pengurusan hutan negara apabila mereka sendiri yang bertanggungjawab mengheret Malaysia ke kedudukan ketiga tercorot dunia berbanding 132 buah negara.

Perkara ini seperti yang tercatat dalam Laporan Indeks Prestasi Alam Sekitar Dunia yang diterbitkan Universiti Yale Amerika Syarikat baru-baru ini.

Malah laporan tersebut juga menggambarkan betapa teruknya prestasi Negara selama sedekad ini (2002-2012) dalam mengurangkan kesan kepada Daya Tahan Ekosistem dan Sumber Asli Negara.

Memetik kenyataan Pengerusi LPPAS PAS Pahang Andansura Rabu, Umno/BN sudah kehabisan modal politik sehingga sanggup menuduh Kedah dan Kelantan, sedangkan pada hakikatnya, merekalah yang sebenarnya gagal menguruskan hutan di negeri yang ditadbir mereka sendiri dengan baik.

Seperti juga isu air, mereka menghentam Kelantan dan Selangor tetapi pada hakikatnya di Pahang sendiri krisis air masih tak selesai-selesai, merujuk kepada memorandum yang diserahkan wakil PAS negeri kepeada menteri besar Pahang baru-baru ini.

Di Pahang sendiri, kita boleh lihat banyak penerokaan hutan yang gagal diuruskan dengan baik, contohnya di Hutan Simpan Kemasul (sebelah Felda Kemasul, Kg Cemomoi Mancis) yang melibatkan kawasan seluas 3000 hektar, Projek Empangan Kelau yang melibatkan 1057 hektar Hutan Simpan Lakum, Mukim Hulu Lepar di Kuantan, manakala Hutan Simpan Tekai, Kg Bantal dan Kg Mat Daling yang melibatkan 700 hektar kawasan hutan.

Tidak ketinggalan juga kawasan pelancongan di negeri itu khususnya di Mukim Hulu Jelai Cameron Highlands dan di Tasik Chini.

Bukan sahaja pencemaran kepada alam sekitar akibat penerokaan hutan yang tidak terkawal ini serta kelemahan aspek penanaman semula hutan, kehidupan masyarakat Orang Asli juga terjejas.

Andansura berharap Umno/BN khususnya kerajaan persekutuan dan di negeri-negeri yang ditadbir mereka tidak hipokrit dalam isu ini kerana lebih banyak pendedahan penyelewengan pengurusan hutan di bawah Umno/BN akan didedahkan selepas ini.


HUZIR SULAIMAN setiausaha LPPAS PAS Pahang. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS