'Deraan' berpanjangan PM

Datuk Seri Najib Razak masih enggan membubarkan parlimen sekalipun tempoh hayat kerajaan BN sudah semakin dekat. Malah mandat yang kerajaan BN terima sejak lima tahun lepas juga sudah terlepas pada 8 Mac lalu.

Ini bererti sudah genap lima tahun kerajaan BN memerintah dan kini seakan-akan memerintah tanpa mandat dari rakyat selepas dari tarikh itu.

PM perlu mandat baru selepas mengambil tampuk pemerintahan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009. Mandat baru penting supaya beliau dapat membuktikan kepimpinan beliau benar-benar direstui rakyat atau sebaliknya.

Namun demikian tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-13 terus menjadi teka-teki di kalangan rakyat, berlalu dari satu tarikh ke satu tarikh yang diramalkan ramai.

PM pula seperti biasa mengambil sikap membisu apabila ditanya mengenai tarikh pilihan raya umum dijalankan. Baginya ia seperti tiada apa-apa kesan kepada rakyat. Namun bagi rakyat, sikap berdolak-dalik PM ini suatu deraan yang berpanjangan.

Mungkin PM mendapat petunjuk bahawa keadaan sekarang tidak memihak kepada dirinya dan BN lagi. Sudah banyak kajian dan hampir kesemua kajian tersebut menunjukkan beliau berkemungkinan besar akan tumbang.

Nampaknya segala macam insentif dan imbuhan yang dilemparkan kepada rakyat tidak cukup untuk meyakinkan Najib untuk membubarkan parlimen.

Tangguh PRU bukan jawapan

Apakah perlu PM umumkan beberapa projek mega atau hadiah lumayan yang lebih menyeronokkan untuk rakyat supaya beliau berpuas hati dan memenangi PRU ke-13?

Dalam kegelisahan Najib mencari tarikh PRU, beliau perlu bersikap realistik dan menyedari nilai dirinya pada perspektif rakyat.

Beliau tidak boleh melarikan diri dari kenyataan dengan mengelakkan diri dari berhadapan dengan suasana dan mood semasa rakyat. Menangguhkan PRU bukan jawapan kepada masalah yang dihadapinya.

Sedarilah wahai PM, fenomena penolakan rakyat terhadap BN adalah suatu lumrah kepada mana-mana kerajaan yang sudah sampai tarikh luput mereka.

Hakikat pemerintahan ada pasang surutnya, dan takdir tersurat beliau memimpin sebuah kerajaan dalam keadaan rakyat menolak beliau.

Apa yang penting, beliau perlu menerima keputusan dan kehendak rakyat dengan reda, kerana sindrom penafian yang selama ini beliau cuba elakkan akan memakan dirinya dan BN kembali.

Beliau perlu mempositifkan dirinya, penolakan rakyat pada dirinya bererti rakyat mahukan yang lebih baik untuk negara. Beliau telah berusaha sedaya mungkin, namun rakyat mahu pemimpin yang jauh lebih cemerlang memimpin negara.

Ini juga aspek positif supaya negara kekal kompetitif, cemerlang serta dipimpin oleh pemimpin yang bersih, berintegriti dan amanah yang tidak ada pada dirinya.


RIDUAN MOHD NOR ketua penerangan Pemuda PAS. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.