Pemimpin, media didesak guna istilah syahid

Mengikut perkembangan semasa di Lahad Datu, jumlah angka korban di kalangan anggota keselamatan negara semakin meningkat dengan 2 lagi kematian terbaru menjadikan semua yang mati syahid berjumlah 9 orang.

Perkara yang menjadi perhatian ISMA ialah bagaimana pihak pemimpin negara dan media menggunakan perkataan yang sesuai terhadap perajurit negara yang telah terkorban.

Antara perkataan yang sering digunakan ialah ‘terkorban', ‘gugur', ‘maut' dan lain-lain lagi sedangkan perkataan yang paling sesuai untuk digunakan ialah ‘mati syahid' atau mereka diberi gelaran ‘para syuhada''.

Oleh itu, ISMA mendesak semua pihak terutama para pemimpin negara dan media tempatan agar menggunakan perkataan ‘syahid' dan ‘syuhada'' dalam kenyataan-kenyataan mereka.

Terdapat beberapa sebab utama yang perlu diberi perhatian:

1. Merujuk kepada pandangan ulamak feqah, mempertahankan negara daripada pencerobohan adalah satu tuntutan fardu yang wajib dilakukan di sisi semua mazhab, dan semua yang terkorban dalam mempertahankan tanah air dikira mati syahid.

2. Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah menyatakan bahawa anggota-anggota keselamatan yang terkorban semasa mempertahankan keselamatan rakyat dan negara di Lahad Datu dan Semporna, Sabah baru-baru ini tergolong sebagai syahid akhirat.

3. Pengurniaan gelaran ‘syuhadak' adalah satu penghormatan dan pengiktirafan dunia akhirat lebih mulia diberikan di samping kurniaan lain seperti kenaikan pangkat dan sumbangan kepada ahli keluarga.

4. Dengan menggunakan istilah syahid, ia akan memberikan ruh Islam dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan negara.

5. Orang yang mati syahid mendapat ganjaran besar di dalam syurga iaitu dapat bersama dengan para anbiya' (nabi-nabi) dan golongan orang yang soleh seperti yang dijelaskan dalam Surah An-Nisa' ayat ke-69.

Semoga Allah mencucuri limpahan rahmat ke atas para syuhadak dan mengembalikan keamanan serta keselamatan kepada negara kita Malaysia khususnya negeri Sabah.


Abdullah Zaik Abdul Rahman adalah presiden ISMA. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.