Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tun Musa Hitam membuat kenyataan bahawa Malaysia tidak akan bankrap jika Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan negara sekiranya berjaya mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum ke-13.

Kenyataannya dirasionalkan bahawa Pakatan akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ekonomi negara supaya berkembang dengan baik dan jika Pakatan memerintah, mereka tidak akan membuat pelabur dari negara luar lari.

Tun Musa Hitam adalah bekas timbalan perdana menteri dan dikenali sebagai seorang yang sangat cerdik dan pintar. Beliau amat rasional dengan sesuatu dan bukan hanya menggunakan emosi semata-mata.

Beliau tidak prejudis dan skeptikal terhadap sesuatu yang belum berlaku. Baginya, perubahan yang diimpikan oleh Pakatan Rakyat dan rakyat umumnya mesti dipandang pada sudut positif dan ia menjurus kepada perubahan yang lebih baik dan menguntungkan, bukan merugikan negara.

Sikap keterbukaan yang ada pada Tun Musa Hitam wajar menjadi contoh kepada negarawan yang lain. Beliau tidak cepat melenting dengan menentang apa sahaja yang dibentangkan oleh Pakatan hanya kerana Pakatan itu pembangkang.

Sebaliknya beliau mencermati segala dokumen tawaran Pakatan dan merasa optimis bahawa Pakatan akan menjadi lebih baik dari BN melalui pengamatannya.

Sebagaimana BN, Pakatan Rakyat juga mempunyai akal dan naluri. Mustahil misi Pakatan untuk menjahanamkan atau memufliskan negara apabila mereka memerintah negara dalam keadaan PR bersusah payah berjuang mendapatkan tampuk pemerintahan negara.

Jika tidak sudah pasti rakyat akan menghukum Pakatan dan inilah yang paling ditakuti sebagaimana sindrom ketakutan yang dialami oleh pemimpin negara sekarang.

Secara realiti, prinsip Pakatan adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat. Dalam erti kata lain, segala dasar yang dilaksanakan Pakatan adalah untuk menguntungkan rakyat, termasuk aspek pembangunan ekonomi negara. Ia juga adalah impian semua kerajaan di dunia ini.

Pemimpin yang bijak apabila mampu menjadikan kepemimpinannya lebih baik dari pemimpin terdahulu. Sebaliknya pemimpin yang merosakkan negara atau menjadikan kepemimpinannya lebih teruk dari pemimpin dahulu adalah pemimpin yang dungu dan bebal.

Sebenarnya yang menjahanamkan negara bukan kerana sikap cakna pemimpin terhadap rakyat melalui kebajikan yang ditawarkan, sebaliknya negara musnah apabila dipimpin oleh pemimpin yang korup.

Masalah rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketirisan, penyelewengan, kronisme, pembaziran dan pemborosan adalah penyakit utama yang membankrapkan negara. Tidak perlu tunggu Pakatan memerintah untuk negara menjadi bankrap.


Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi adalah penyelaras Parlimen Titiwangsa. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS