Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berikutan pendedahan sensasi di media apabila seorang anggota trafik yang juga seorang penulis blog pro-Umno boleh mengundi dua lokaliti, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengingatkan semua pihak bahawa terdapat sindiket terancang yang 'dibiarkan' berlaku demi untuk Umno terus berkuasa.

Ini bukan kes terpencil, ia boleh berlaku di kalangan semua anggota polis dan tentera khususnya yang telah tamat perkhidmatan dan berhenti. Dengan dua pengenalan diri, 'IC tentera' dan juga 'IC awam' digunakan untuk mengundi lebih dari sekali dan kes penulis blog pro-Umno ini adalah bukti yang jelas.

Berapa ramai jumlah anggota tentera dan polis yang sudah tamat perkhidmatan yang berisiko menafikan sistem demokrasi dengan menjadi pengundi hantu? Ia juga menunjukkan betapa SPR tidak pernah serius membersihkan senarai pengundi lantas menjadi salah satu jalan penipuan pilihan raya.

Di atas sebab yang sama, majoriti rakyat hari ini menuntut penggunaan dakwat kekal bagi mengekang pengundian lebih dari sekali oleh individu sama.

Namun difahamkan sistem dakwat kekal yang akan dilaksanakan pada PRU-13 kelak adalah berbeza dari kebiasaan. Hanya mereka yang sudah dicalit dakwat akan diberikan kertas mengundi. Ia juga bermakna, setiap mereka yang sudah dicalit dakwat kekal boleh mengundi lebih dari sekali dengan sistem 'terbalik' ini.

Justeru itu, SAMM mendesak supaya penggunaan celupan dakwat kekal harus dilaksanakan dengan sistem yang lebih berkesan iaitu dengan meletakkan syarat hanya jari yang bersih tanpa dakwat kekal sahaja layak mendapat kertas mengundi.

Jika SPR terus menggunakan sistem yang serba pincang, ia jelas bermakna pelaksanaan penggunaan dakwat kekal yang diumum hanya untuk mengaburi mata rakyat. Malah ia menjadi satu cara untuk terus menipu dalam pilihan raya. Demokrasi terus dinafikan secara terselindung!


EDY NOOR REDUAN pengarah propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS