Tolak calon sektarianis, rasis

Kami di AsSajjad Movement dukacita dan mengecam pencalonan beberapa tokoh yang bersifat sektarianis dan rasis ketika Pilihanraya Umum ke-13 ini.

Pencalonan Zulkifli Noordin, Naib Presiden PERKASA untuk P108 Parlimen Shah Alam gagal menjelmakan semangat dan pendekatan holistik dan terkehadapan Barisan Nasional dalam isu-isu perhubungan kaum atau etnik.

Zulkifli Noordin dalam satu rakaman video bertarikh 28 Mac 2013 yang dimuatkan di laman YouTube telah memperolok-olokkan agama Hindu yang mana antara lain telah menyatakan perbualan beliau dengan penjual berhala Hindu di Wisma Yakin, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, pencalonan Fathul Bari Mat Jahaya untuk N15 DUN Sanglang, Perlis gagal menonjolkan semangat wasatiah Barisan Nasional yang dipelopori oleh Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu rakaman di laman YouTube, beliau telah melakukan pemomokan dan fitnah yang serius terhadap minoriti Syiah di negara ini.

Kami dengan itu berpendapat pencalonan Fathul Bari Mat Jahaya adalah bertentangan dengan semangat Islamabad Declaration (2007) yang ditandatangani oleh Datuk Syed Hamid Albar bagi mewakili Malaysia ketika berlangsungnya "The Thirty Fourth Session Of The Islamic Conference Of Foreign Ministers".

OIC menerusi Islamabad Declaration (2007) menegaskan antara lain:

"No Muslim, whether he or she is Shi'ite or Sunni, may be subject to murder or any harm, intimidation, terrorisation, or aggression on his property; incitement thereto; or forcible displacement, deportation, or kidnapping. All Muslims to refrain seriously from any provocation of sensitivities or sectarian or ethnic strife, as well as any name-calling, abuse, prejudice or vilification and invectives."

Pencalonan individu-individu rasis dan sektarianis untuk Pilihanraya Umum Ke-13 oleh Barisan Nasional tidak mencerminkan pasukan transformasi yang dihasratkan oleh parti ini.

As Sajjad Movement juga menolak lapan calon Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang bertanding di bawah tiket Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) memandangkan aspirasi yang dibawa dalam manifesto mereka berbau perkauman.

Manifesto calon-calon ini berbunyi antara lain: "Mengambi lkira perkembangan-perkembangan negatif di atas maka BERJASA terpanggil untuk berjihad menyertai PRU13 dengan mengetengahkan calon-calon Melayu/Muslim berwibawa demi untuk menebus kembali hak dan kuasa politik Melayu/Muslim di Parlimen dan Dewan Undangan-Dewan Undangan Negeri-Negeri tertentu."

Selain itu mereka menyatakan dalam manifesto untuk mengkhaskan jawatan-jawatan utama dalam Perkhidmatan Awam untuk Melayu/Muslim sahaja (lihat http://www.anwaraidc.com/?p=33796).

Kami menyeru supaya pengundi-pengundi menolak calon-calon sektarianis dan rasis ini, serta tidak memberi mereka tempat sebagai penggubal undang-undang.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.