Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat tindakan Barisan Nasional (BN) menggunakan para mahasiswa sebagai jentera pilihan raya adalah tindakan yang memperlekehkan kebijaksanaan para mahasiswa untuk memilih sama ada mereka mahu melibatkan diri ke dalam pilihan raya atau tidak.

BN mengumumkan bahawa mereka akan menggerakkan ribuan mahasiswa daripada institusi-institusi pengajian tinggi dalam usaha mengedarkan risalah, berkempen untuk BN di samping menjelaskan dasar-dasar kerajaan dan manifesto BN.

Para mahasiswa juga akan membantu memastikan keselamatan kawasan-kawasan di Putrajaya, Shah Alam, Gombak, Gelang Patah dan Pekan.

Pertamanya, sebelum ini BN telah berkali-kali menyeru dan menasihatkan para mahasiswa tidak terlibat dalam politik mahupun pilihan raya.

Keduanya, setiap kali terdapatnya para mahasiswa yang bersuara menentang dasar-dasar kerajaan, tindakan kerajaan mahupun berkempen bagi diri mereka atau dikatakan menolong pembangkang, mereka telah dibelasah, dibuli, dicerca, dihina oleh bukan sahaja kerajaan, tetapi BN dan para penyokong BN.

Mengapakah terdapat dua set peraturan yang berbeza bagi mahasiswa yang membantu dan menyokong BN dan mahasiswa yang bersuara menentang kerajaan dan BN?

Paksa tinggal kelas?

BN mengerahkan ribuan mahasiswa untuk membantu kempen BN. Dalam erti kata lain, BN memaksa para mahasiswa untuk meninggalkan kelas mereka semata-mata untuk membantu BN mencapai objektif politik mereka.

Di mana para mahasiswa yang begitu dicerca oleh BN kerana dikatakan menyokong pakatan pembangkang tidak dipaksa oleh mana-mana pihak untuk meluahkan pendapat mahupun pendirian politik mereka.

Sebuah pendidikan adalah di mana para mahasiswa berhadapan dengan fakta dari semua pihak dan memutuskan teori sendiri bergantung kepada pemahaman sendiri dan bukannya disuap maklumat oleh satu pihak sahaja dan dipaksa untuk menerima apa sahaja suapan yang diberi.

Begitulah definisi kerahan para mahasiswa yang dijadikan jentera kerajaan dan BN. BN harus memberi penjelasan mengapa para mahasiswa ini dipaksa menjadi jentera pilihan raya BN.

Begitu juga, penjelasan kepada kelayakan dan tujuan para mahasiswa untuk menjadi pegawai keselamatan di kawasan-kawasan yang telah disebut.

Pihak polis telah mengerahkan ribuan polis bagi memastikan keselamatan warga Malaysia di seluruh negara pada musim Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) dan juga pada hari pengundian.

Kebebasan tanpa prejudis

BN dilihat memperjudikan keselamatan para mahasiswa kerana menjadikan mereka pegawai keselamatan parti politik tersebut.

Jika BN mahu mendedahkan para mahasiswa kepada proses pilihan raya, mengapakah BN, pihak kerajaan dan penyokong BN sebelum ini begitu menghina dan mencerca para mahasiswa yang bersuara dan berkempen pilihan raya menentang kerajaan dan BN?

Sikap dua set peraturan berbeza ini terus mencerminkan keadaan terdesak BN dalam usaha mencuri kemenangan PRU13 di mana kebebasan memilih dan berfikir para mahasiswa ditolak dan sebaliknya indoktrinasi politik dipaksa ke atas para mahasiswa.

Lantas, KPRU menggesa BN tidak menggunakan para mahasiswa sebagai alat politik dalam perjalanan ke PRU13.

BN harus memberi kebebasan kepada para mahasiswa untuk memilih sama ada untuk melibatkan diri dalam proses pilihan raya dan tidak prejudis kepada para mahasiswa yang memilih untuk berkempen bagi pihak persatuan mahasiswa mahupun pembangkang.


KAJIAN POLITIK UNTUK PERUBAHAN (KPRU) sebuah badan pemikir. Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

ADS