Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Hikayat Pasar Raya A & B buat pengundi atas pagar

Ramai yang sudah pun memutuskan undi mereka akan diberikan kepada siapa. Hanya segelintir lagi yang masih belum berbuat demikian, dan di tangan andalah terletak masa depan kita semua.

Ketika mempertimbangkan pilihan kita, izinkan saya bandingkan situasi yang kita hadapi dengan menggunakan perumpamaan Pasar Raya A dan Pasar Raya B.

Apabila hanya ada Pasar Raya A di kawasan kita, adakah ia mempunyai motivasi untuk rendahkan harga atau memberi perkhidmatan yang baik?

Sekiranya kita tiada pilihan dan selalu terpaksa pergi ke Pasar Raya A , pemiliknya boleh bertindak sesuka hati, dari segi penentuan harga barang dan cara pelanggan dilayan.

Pelanggan yang tiada pilihan adalah pelanggan yang tiada kuasa.

Semakin lama Pasar Raya A sahaja yang dibenarkan menjual barang di kawasan kita, semakin buruklah layanan mereka terhadap kita, para pelanggan. Akan tetapi, sekiranya Pasar Raya B membuka pintu di kawasan yang sama, situasi akan jauh berbeza.

Pada peringkat awal, mungkin pelanggan segan untuk mencuba benda yang baru. Tetapi, sekiranya semakin ramai pelanggan pergi ke Pasar Raya B, Pasar Raya A pasti akan terasa.

Sekarang, Pasar Raya A tidak boleh lagi bertindak sesuka hati, kerana pelanggan yang tidak puas hati dengan senangnya boleh sahaja pergi ke Pasar Raya B untuk mendapatkan barang keperluan mereka.

Selagi ada lebih daripada satu pilihan, kedua-dua Pasar Raya A dan Pasar Raya B akan selalu bersaing antara sendiri untuk merendahkan harga, melayan pelanggan dengan lebih baik, memberi tawaran serta ganjaran yang lebih menarik, dan sebagainya.

Mana-mana pihak yang gagal berbuat sedemikian sudah tentu akan kehilangan semua pelanggan mereka.

Dalam sejarah Malaysia, kita hanya pernah ada "Pasar Raya A". Walaupun mungkin baik pada awalnya, jiwanya sudah semakin tercemar akibat terlalu lama menikmati monopoli kuasa.

Pada saat bersejarah ini, bakal muncullah pesaing yang baru.

Sekiranya Pasar Raya A dipilih dan kita menolak permohonan Pasar Raya B untuk membuka kedai mereka, apa yang akan Pasar Raya A faham adalah: kita boleh buat sesuka hati, rakyat akan tetap pilih kita.

Sekiranya Pasar Raya B dipilih, apa yang Pasar Raya B akan faham adalah: rakyat telah beri satu peluang pertama ini kepada kami. Jika kami gagal, sudah pasti mereka tidak akan pilih kami lagi.

Rakyat yang tiada pilihan adalah rakyat yang tiada kuasa.

Pasar Raya B ini bukanlah sempurna, dan pemimpinnya bukanlah semua alim dan berintegriti.

Bagaimanapun, mereka telah membuktikan diri dalam pengurusan beberapa negeri yang telah mula nampak ada pembaharuan dan pembaikan.

Semakin banyak diberi balik kepada rakyat untuk memenangi hati dan minda, dan persaingan antara Pasar Raya A dan Pasar Raya B semakin sengit. Hasilnya, rakyat yang untung.

Siapa pun yang kita pilih, kita mesti selalu mengingatkan Pasar Raya B mahupun Pasar Raya A:

"Kuasa di tangan rakyat - siapa yang kami angkat, kami boleh turunkan kembali, sepertimana yang kami turunkan kali ini. Sempurnakanlah amanah dan peluang yang diberikan, atau sediakanlah diri untuk dipecat lagi."

Demi anak cucu kita, kita mesti sedia dan berani mengambil kesempatan ini untuk mematangkan demokrasi Malaysia, dan mengembalikan negara kita ke tangan rakyat.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS