Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bahang pilihan raya umum ke-13 semakin dirasai. Tanggal 5 Mei 2013 akan jadi detik penentu untuk negara yang kita cintai.

Adakah negara kita mahu terus dikuasai pemerintah yang rakus? Atau kita mahu perubahan ke arah negara yang adil dan berkebajikan?

Pilihan sebenar terletak di tangan anda !

Tanpa ragu lagi, saya menyatakan sokongan penuh pada saya Pakatan Rakyat. Gabungan tiga parti besar, PAS, PKR, dan DAP merupakan pilihan terbaik buat rakyat Malaysia masa kini untuk melihat sesuatu perubahan ke arah Malaysia yang makmur dan disegani.

PRU ke-12 pada tahun 2008 telah membuktikan kejayaan serta kematangan pakatan rakyat dalam mentadbir negeri yang berjaya dikuasai.

Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang telah menjadi bukti dan contoh kepada rakyat meskipun mendapat pelbagai tohmahan dan tekanan daripada kerajaan pusat pimpinan BN .

Namun, ia tidak menghalang keempat-empat negeri ini untuk mencatatkan prestasi yang cemerlang baik dari segi pengurusan mahupun dari segi pendapatan dalam negeri.

Ditambah dengan ketelusan pentadbiran, ianya tidak syak lagi bahawa kenyataan yang mengatakan bahawa ahli pakatan rakyat tidak mampu mentadbir hanyalah omong kosong untuk menakutkan rakyat marhaen.

Umno dan sekutunya pada kempen kali ini berterusan cuba untuk memperbodohkan rakyat dengan melalui media nasional yang dikuasai oleh mereka. Tanpa memberi peluang kepada parti lawan untuk berkempen menggunakan saluran yang sama.

Jelas, demokrasi yang dicanang-canangkan sebenarnya pincang ! Adakah mereka terlupa bahawa zaman kini zaman teknologi?

Zaman yang maklumat dapat disalurkan hanya dengan satu klik dijari anda ? Apakah mereka terlupa bahawa rakyat tidak selamanya dapat diperbodohkan dengan omong kosong mereka di media nasional?

Saya dapati, PRU kali ini merupakan pilihan raya pertama penggunaan Internet digunakan semaksimumnya untuk berkempen.

Selama ini rakyat hanya banyak bergantung pada media nasional yang 100 peratus dikuasai oleh parti barisan.

Kezaliman-kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan parti barisan nasional tidak dapat dinafikan. Lihat sahaja negeri Kelantan, bertahun-tahun dinafikan hak royalti sedangkan 90 peratus rakyat Kelantan merupakan kaum Melayu.

Umno yang dicanang-canangkan sebagai pembela kaum Melayu hanyalah pembela kerabat mereka sahaja. Hanya kerana Kelantan diperintah oleh PAS. Maka, hak royalti mereka telah dinafikan.

Inikah demokrasi yang mereka laung-laungkan ? Sedangkan Terengganu, Sabah dan Sarawak telah menerima hak tersebut hanya kerana mereka dikuasai oleh BN.

Kalau hendak disenaraikan kezaliman Umno di sini ternyata tidak cukup hari untuk mencatatnya.

Di kala rakyat sedang merana kesempitan. Pemimpin rakus membolot kekayaan negeri untuk diri dan kerabat. Ingin saya memetik satu kisah seorang khalifah yang unggul dunia Islam.

Keunggulannya juga dijadikan idola oleh Lim Guan Eng iaitu Khalifah Umar Abd Aziz. Umar terkenal sebagai seorang khalifah yang menjaga amanah kepada rakyat.

Diceritakan bahawa beliau telah menggunakan dua buah lampu api di rumahnya. Beliau akan menyalakan satu lampu api untuk membuat kerja urusan negara.

Apabila membuat urusan peribadi, beliau telah memadamkan lampu api tersebut dan menyalakan lampu api yang kedua.

Begitu juga ketika mana seekor keldai yang membawa minyak wangi untuk disimpan di baitulmal telah lalu di hadapan rumah beliau. Maka, Umar Abd Aziz telah menutup hidungnya daripada mencium bau minyak wangi tersebut kerana itu adalah harta negara. Bukannya milik peribadi beliau

Bayangkan betapa cermatnya dan halusnya khalifah Umar Abd Aziz dalam menjaga amanah rakyat. Sedangkan bau minyak wangi pun dia menutup hidungnya. Inikan pula harta negara yang besar jumlahnya.

Pemimpin seperti inilah yang kita kehendaki. Bukannya pemimpin yang rakus meratah kekayaan negara untuk diri dan kerabat sedang rakyat terus melarat hidup merempat!

Undilah BN,

andai anda ingin mengayakan kerabat dan kroni mereka.

Undilah BN,

andai anda inginkan undang-undang demokrasi terus dicabul dan ditelanjangkan oleh puak mereka.

Undilah BN,

andai anda ingin menambahkan lagi hutang negara yang sudah sampai ke tahap yang menakutkan.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS