Politik 'adiluhung', kesaksian Muslim dalam p'raya

Seorang Muslim wajib memberikan kesaksian apabila diminta. Mengundi pada pilihan raya adalah satu kesaksian. Justeru menjadi kewajiban untuk seseorang Muslim itu mengundi. Jangan diabaikan kewajiban ini kerana ia boleh melemahkan perjuangan umat.

Kelalaian memenuhi tuntutan ini boleh membinasakan keagungan Islam. Maka jelas di sini bahawa pengundian seorang Muslim bukan semata-mata memenuhi tanggungjawab kenegaraan tetapi juga amanah keagamaan.

Keamanan perlu dipelihara bagi menjamin kesejahteraan negara. Pihak wewenang mesti melaksanakan tugas dengan sikap amanah dan tanggungjawab yang tinggi.

Kehilangan integriti menerusi sikap yang bias, kelemahan pengurusan, kelewatan tindakan dan penipuan boleh mengundang kemarahan dan menyalakan api keganasan.

Kepada ahli-ahli parti yang bersaing elakkan sikap melampau dan taksub melulu. Segala senario perlu ditangani dengan akal yang waras dan tindakan yang tepat. Jangan digadaikan keamanan menerusi aksi yang keterlaluan.

Justeru, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru agar rakyat Malaysia mendokong dan menyokong politik 'adiluhung' yang menjunjung nilai yang murni untuk ditegakkan dalam masyarakat. Menjana nilai adalah permulaan langkah dalam mengangkat martabat bangsa.

Perjuangan politik yang menjunjung tinggi nilai kebenaran dan keadilan perlu dijadikan teras dalam membina tamadun bangsa. Amalan politik longkang yang menjadikan fitnah, adu domba, rasuah dan ugutan sebagai alat dalam persaingan merebut kuasa mesti diketepikan.


AMIDI ABD MANAN presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.