Pilih pendekatan aman, Pakatan

Kelmarin, pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah selesai dilaksanakan.

IKRAM merakamkan ucapan tahniah kepada semua pengundi Malaysia yang telah keluar menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan aman.

Dengan peratusan keluar mengundi lebih 80 peratus, yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah PRU13 di negara ini, kesedaran politik rakyat Malaysia tentunya sudah mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Mereka sudah faham apakah itu erti kuasa rakyat.

Bagaimanapun, IKRAM mengambil perhatian berat terhadap kemungkinan berlakunya proses pengundian meragukan, malahan bertentangan dengan undang-undang sehingga menjadikan PRU13 dilihat bukannya satu proses demokrasi yang bebas dan adil.

IKRAM mengambil maklum perihal beberapa isu seperti publisiti media yang berat sebelah, masalah dakwat kekal yang mudah dibasuh, proses pengundian yang meragukan serta pengundian awal dan pengundian pos yang tidak telus dan boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.

Ketelusan institusi yang bertanggungjawab khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi tanda tanya, diragui serta dicemari. IKRAM mempersoalkan kesahihan keputusan yang telah dimaklumkan.

IKRAM menuntut SPR memberi penjelasan kepada setiap isu keraguan yang ditimbulkan sebelum ia dapat diterima sewajarnya.

IKRAM menggesa Pakatan Rakyat memilih pendekatan aman, melalui tindakan undang-undang atau perhimpunan aman.

Pengalaman PRU13 ini menguatkan lagi tekad IKRAM untuk terus memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil.

Jangan sesekali memandang kecil kuasa dan pengaruh rakyat jelata Malaysia!


DR MOHD PARID SHEIKH AHMAD presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.