MB Selangor dari PAS atau PKR?

Perdana menteri sudah mengangkat sumpah, disusuli oleh menteri-menteri besar kerajaan negeri.

Namun begitu, sesuatu di luar dugaan apabila sebuah negeri yang kaya dengan hasil industrinya yang menyaksikan kemenangan lebih dari dua pertiga majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) pula memaklumkan akan mengumumkan pelantikan menteri besarnya seawal-awalnya minggu hadapan.

Negeri apa lagi kalau bukan negeri Selangor Darul Ehsan.

Secara terus-teranglah, situasi ‘tarik tali' yang berlaku di Selangor ini amatlah dikesali kerana suasana politik melampau masih menyelubungi kepimpinan Pakatan di Selangor.

Malah, ada pihak tertentu yang kini sudah terpinggir 'kejatiannya' pula cuba membangkitkan sentimen perkauman di antara orang Cina dan Melayu di negeri ini.

Dan tiba-tiba beliau menggesa PAS dan Umno bergabung kerana kononnya Cina mahu merampas kuasa.

Kini, trend di media-media sosial ialah beberapa kerat mereka yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan dari ucapan sulung Datuk Seri Najib Razak sebaik sahaja memperoleh majoriti mudah di Parlimen.

Dalam ucapan itu, dengan rupa sugul, Najib membayangkan polarisasi kaum Cina merupakan penyebab kepada pengurangan mendadak undi kepada BN di seluruh negara.

Kini, golongan di luar PAS dan Umno ini telah menggunakan intipati ucapan itu bagi membangkitkan suasana perkauman yang berbahaya di sosial media.

Diharapkan bagi pihak polis yang mewujudkan pasukan pemantau media sosial agar segera bertindak bagi mengekang usaha tidak bertanggungjawab tersebut.

Semua sedia maklum berdasarkan kajian yang dilakukan pada keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah melihat kepada trend pengundi bandar dan subbandar tak kira Cina, Melayu atau India sebagai faktor utama kepada kehilangan undi kepada BN.

Lihat sahaja ibu-ibu negeri yang majoritinya mempunyai pengundi Melayu di Timur Semenanjung Malaysia iaitu Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan pun menolak BN.

Bukankah ini pola pengundi bandar? Malah Shah Alam yang memiliki hampir 70 peratus pengundi Melayu juga menolak BN.

Tidak dinafikan kenyataan Najib itu terlalu awal kerana ketika ucapan itu dibuat pun sudah awal pagi (1 pagi) dan pengamatan sekali imbas beliau pada tragedi undi yang berlaku adalah tidak adil, beremosi dan bersentimen.

Namun begitu, bukannya isu ini yang mahu diutarakan oleh penulis. Ini kerana penulis yakin Najib pada ketika itu berkata sedemikian mungkin tidak dapat berfikir dengan baik kerana sepanjang masa dan hari pengundian itu, beliau seperti manusia yang lain juga berdebar-debar dengan kedudukan BN.

Beliau sendiri sebagai perdana menteri untuk pasca-PRU mencapai keputusan yang buruk untuk parti dan dikelilingi oleh laporan pelbagai tidak rasmi oleh mereka yang berada di kiri kanannya.

Ditambah pula dengan keletihannya yang berkempen dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak bersilih ganti sepanjang minggu-minggu berkempen maka penulis pasti dalam sehari dua ini, Najib akan terbuka untuk melihat situasi ini dengan lebih adil dan penuh maklumat.

Benarkah PAS berminat?

Selain cubaan pihak yang cuba melaga-lagakan Melayu dan Cina di media massa, satu lagi masalah dalaman Pakatan Selangor sekarang kononnya PAS yang gembira menambah tujuh kerusi DUN.

Dengan memiliki15 kerusi DUN itu dikatakan menjadikan mereka amat beriya-riya untuk meletakkan pemenang mereka sebagai menteri besar baru.

Pada mulanya saya menolak dakwaan mengenai wujudnya usaha berkenaan. Ini kerana kerana saya percaya Pakatan sudah menjadi satu gabungan parti yang penuh istiqamah, toleransi dan penuh muafakat.

Namun apabila mendengar sendiri dari sumber yang dekat dalam parti tersebut, penulis berasa bertanggungjawab untuk menghurainya dan menentang mereka daripada merosakkan imej Pakatan di mata pengundi negeri Selangor ini.

Apabila Ketua PKR Selangor, Azmin Ali membuat kenyataan media bahawa pelantikan menteri besar Selangor akan dilakukan selewat-lewatnya minggu hadapan, penulis sudah berasa lebih yakin dengan kebenaran berlakunya pergelutan dalam Pakatan Selangor.

Amatlah menghairankan apabila diberikan mandat yang kuat untuk terus mentadbir Selangor, kini parti-parti di bawah Pakatan mula bertelingkah bagi kepentingan sendiri tanpa melihat nawaitu dan sebab kenapa majoriti 65 peratus pengundi Selangor kekal memilih Pakatan.

Tidak salah untuk saya katakana bahawa kemenangan Pakatan di Selangor adalah landslide apabila berjaya memiliki 44 kerusi DUN dan meninggalkan selebihnya 12 kerusi dimiliki oleh BN.

Antara 44 kerusi itu, secara pecahannya PAS memiliki 15, DAP (15) dan PKR (14). Kini PKR dan PAS didakwa ingin sama-sama menunjuk kuasa dengan hanya merujuk pada jumlah kerusi yang mereka miliki.

Apalah sangat 15 dimiliki oleh PAS atau 14 kerusi milik PKR untuk masing-masing mahu merampas jawatan menteri besar.

Penulis mengucapkan tahniah kepada DAP yang juga memiliki 15 kerusi DUN kerana tidak terlibat dalam perebutan ini kerana menghormati undang-undang tubuh negeri yang menjamin jawatan tersebut hanya boleh disandang oleh orang Melayu.

Namun begitu, saya yakin DAP mempunyai suara untuk memilih sama ada menteri besar yang bakal dilantik dari PAS atau PKR.

Pelantikan menteri besar seharusnya berdasarkan pengalaman dan ketrampilan dalam pengurusan politik setempat, sosial dan ekonomi.

Untuk itu, di kalangan pengundi Pakatan di Selangor ini yang tidak berparti termasuklah saya, faktor utama kenapa Pakatan masih memenangi DUN Selangor disebabkan oleh kewibawaan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri.

PAS dalam hal ini perlu akur dengan kehendak pengundi dan bukannya mengikut suka hati dan perasaan atau perjuangannya.

Bagaimanapun, terus-terang saya yakin sentimen PAS mahukan menteri besar dari kalangan mereka ini rasanya hanya di kalangan pengikut yang dizahirkan melalui media sosial oleh ahli-ahli sahaja.

Saya yakin kepimpinan PAS Selangor tidaklah terikut-ikut dengan tuntutan sebegini demi ummah.

'Bergelut' antara Khalid atau Azmin

Satu lagi situasi yang saya rasa lebih besar kemungkinan berlaku dalam PKR ketika ini ialah pertembungan antara Khalid dan Azmin sendiri.

Saya juga ada menerima maklumat dalaman yang mendakwa bahawa kumpulan Azmin mahu jawatan menteri besar dan tidak ketinggalan dengan penyokong-penyokong Khalid yang mahukan Khalid meneruskan karier tersebut dengan mandat baru.

Bukan itu sahaja, saya juga dimaklumkan DAP dan PAS Selangor memberi kata dua kepada PKR dengan mendesak agar Azmin menerima hakikat bahawa kedua-dua parti itu mahukan Khalid sebagai menteri besar.

Malah, turut dilaporkan bahawa PAS Selangor mengingatkan PKR bahawa jika Khalid tidak dipilih, mereka mahukan jawatan tersebut.

Saya sebagai pengundi di Selangor lebih yakin akan kewibawaan Khalid untuk meneruskan tugasnya sebagai menteri besar jika dibandingkan dengan Azmin.

Saya yakin Azmin boleh menumpukan tugas beliau di peringkat nasional dan menumpukan usaha penyatuan parti-parti pembangkang di Sabah.

Dalam PRU13, kita boleh melihat betapa banyak kerusi Parlimen dan DUN di Sabah yang terlepas dari Pakatan gara-gara pertandingan banyak penjuru dengan parti-parti setempat seperti STAR dan SAPP.

Hakikat ini adalah pahit untuk ditelan tetapi perlu diterima kerana kekalahan ‘bodoh' inilah yang merosakkan peluang Pakatan untuk mengumpul cukup kerusi untuk ke Putrajaya.

PKR perlu banyak berunding dengan penuh muafakat dengan parti-parti negeri Sabah ini sebelum menghadapi PRU akan datang.

Bukan itu sahaja, Azmin perlu menumpukan usaha permuafakatan Pakatan di Selangor. Meskipun tidak ada jawatan pengerusi Pakatan Selangor tetapi Azmin dilihat menerajuinya kerana beliau adalah ketua PKR negeri dan timbalan presiden.

Kelemahan permuafakatan inilah yang menyebabkan Pakatan kehilangan buta-buta dua kerusi DUN di Selangor.

Kehilangan DUN Kota Damansara dan Semenyih yang disebabkan oleh perpecahan undi di antara parti-parti Pakatan hanya membantu BN untuk menang di sana.

Perkara sebegini adalah penting untuk dilihat Azmin selain dari menjalankan tugasnya di peringkat nasional sejajar dengan jawatannya di peringkat PKR pusat.

Selangor negeri yang maju, dinamik dan berdaya saing. Tidak dinafikan bahawa Khalid telah membuktikannya dengan kejayaan program-program ekonomi dan kemasyarakatan di Selangor yang sebenarnya membantu Pakatan mendapat majoriti 2/3.

Selangor memiliki komposisi penduduk seimbang dari segi taraf hidup, etnik dan taraf kehidupan.

Boleh dikatakan masyarakat atau penduduk Selangor merupakan orang-orang yang celik belaka atau terpelajar.

Oleh itu, kedudukan Khalid yang tidak terikat dengan kepimpinan parti dapat membantu beliau menumpukan perhatian ke arah mensejahterakan penduduk berbilang kaum di negeri ini ke peringkat yang lebih baik dari hari ini.

Oleh itu, saya merayu kepimpinan Pakatan usah melemahkan pakatan yang ada. Untuk itu segeralah sepakat memilih individu yang sudah banyak membantu mereka sendiri untuk terus berkuasa di Selangor.

Apapun keputusan itu biarlah selaras dengan inspirasi dan kehendak para pengundi Selangor. Jangan lupa janji anda sebagai YB - Yang Berkhidmat dan bukannya lagi Yang Berhormat.


SHAHARUL SHAFIE seorang perunding sumber manusia strategik, teknologi sains maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau kini melanjutkan pengajian peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka tempatan. Beliau memimpin NGO antarabangsa, Armed for the Quill (AFTQ) yang berpusat di Oslo, Norway sebagai ketua bagi Asia Tenggara dan Timor Leste.

Beliau menulis artikel analisis perkembangan politik, sosial dan ekonomi. Beliau boleh dihubungi di [email protected]. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.