Coretan perantau Pasca-PRU13

Saya bersyukur kerana Allah memberikan peluang kepada saya untuk pulang ke tanah air bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan pengundi para pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini.

Saya kira pilihan raya kali ini ialah yang terbaik pernah berlaku sepanjang saya celik akan politik tanah air.

Terbaik tidak bermaksud sempurna dari segala bentuk ketidakadilan yang sememangnya manusia secara fitrahnya inginkan.

Sebagai contoh mudah dan jelas ketidakadilan yang berlaku dalam sistem pilihan raya Malaysia ialah penguasaan media oleh BN.

Ketika sedang menunggu di sebuah kedai makan, saya sempat menonton berita di satu stesen TV.

Dari awal sehinggalah ke akhirnya, BN menggunakan ruang berita di TV itu untuk berkempen tanpa memberikan sedikit pun ruang bagi Pakatan Rakyat menjawab segala persoalan dan tuduhan yang dicanang oleh pihak media berkenaan.

Saya kira ini merupakan satu ketidakadilan yang perlu dibaiki agar rakyat dapat menilai dengan adil dan memilih dengan bijak.

Di negara maju seperti UK, empat saya menetap buat masa ini, semua pihak diberikan ruang untuk berkempen di media TV semasa pilihan raya.

Hinggakan, tidak perlu lagi untuk parti-parti yang bertanding membazirkan duit untuk poster-poster, kain rentang, bendera-bendera dan lain-lain yang akhirnya hanya menjadi sampah.

Alangkah, baiknya jika peruntukan untuk itu dapat disalurkan kepada mereka yang amat memerlukan dengan cara yang paling bijak.

Mungkin dengan itu, tiada lagi yang layak menerima BRIM selepas PRU. Dengan media yang adil rakyat dapat menilai dengan lebih baik kerana semua pihak boleh berhujah dengan matang dalam semua isu yang dibangkitkan.

Politik sebeginilah yang amat saya idamkan untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang. Saya doakan semoga Allah mengizinkan ianya berlaku di Malaysia.

Kepada kerajaan BN yang telah diumumkan menang di peringkat persekutuan dalam PRU13, saya mohon agar menjalankan amanah dengan adil, beramanah dan penuh integriti.

Kerajaan perlu bertindak menghentikan semua pihak yang cuba membangkitkan sentimen perkauman walaupun DAP memenangi bilangan kerusi yang besar.

Hakikatnya, di kebanyakan kerusi ,jika DAP tidak menang, maka MCA (BN) yang menang juga adalah dari bangsa Cina. Bahkan DAP mendapat majoriti yang besar hasil juga dari undi bangsa Melayu yang menolak politik sempit perkauman.

Demikian juga, ada bangsa Cina dan India yang tidak lagi segan silu untuk menjulang bendera PAS bahkan bertanding atas tiket PAS.

Ini menunjukkan tembok perkauman sudah mula terhakis yang merupakan satu petanda yang baik untuk masa depan negara yang kita cintai.

Dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan DAP adalah komunis perlu ditepis kerana tidak ada sebarang bukti yang sahih.

Jika ada, saya percaya kerajaan telah pun mengambil tindakan yang sepatutnya kerana negara kita menolak ideologi komunis ini.

Saya bimbang jika dakwaan sedemikian dibiarkan berterusan akan menyebabkan kebenciaan antara kaum dan persengketaan berterusan.

Sepatutnya, kita mesti hidup dengan berkasih sayang, bertolak ansur dan bertimbang rasa agar wujud keharmonian dalam negara kita.

Di dalam Islam pun, kita tidak pernah diajar untuk bersengketa dengan kaum lain. Bagaimanakah dakwah Islam akan dapat disampaikan dan diterima oleh kaum lain jika ada sengketa kepada mereka?

Kita umat Islam percaya bahawa dengan hanya bertakwa kepada Allah dan beramal dengan ajaran Islam sahajalah kita akan mati dalam keadaan yang baik dan dapat memasuki syurga Allah.

Sesungguhnya, hanya syaitan sahaja yang mahukan manusia mati dalam kekufuran yang tempatnya adalah neraka.

Justeru, kita perlu berkasih sayang sesama manusia tidak kira bangsa agar kita menjadi pendakwah yang dapat menarik hati manusia ke arah hidayah Allah.

Buat Pakatan yang masih belum berjaya menguasai majoriti parlimen dan membentuk kerajaan, saya harap agar jangan mudah kecewa dan putus asa.

Jadilah, pembangkang yang baik untuk mendesak kerajaan melakukan perubahan ke arah Malaysia yang lebih gemilang.

Sesungguhnya, perjuangan ke arah yang lebih baik tidak akan pernah terhenti dan tidak akan pernah tewas.

Sabarlah dan redhalah dengan segala ketentuan Allah. Saya kira ini merupakan siri latihan dari Allah untuk mendidik pemimpin-pemimpin , ahli-ahli serta penyokong-penyokong PR untuk bersabar.

Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar.

Jika sekiranya ada bukti yang mencukupi tentang dakwaan penipuan dan salah laku mana-mana pihak dalam PRU yang lepas, saya harap tindakan yang amat bijak, berhati-hati dan penuh bijaksana diambil oleh semua pihak terlibat dalam usaha memastikan negara kita terus aman dan sentosa.

Saya berdoa kepada Allah agar terus mengurniakan kesejahteraan dan keamanan kepada negara kita dan rakyatnya akan terus hidup dengan mesra, berkasih-sayang dan bertolak ansur.

Akhir sekali, buat semua rakyat Malaysia, saya menyeru untuk kita bersatu sebagai rakyat Malaysia walaupun kita berbeza pandangan.

Bilamana perlu, berhujahlah dengan fakta dan bukti secara rasional tanpa emosional untuk mencari kebenaran, bukannya mencari gaduh.
Jangan mudah percaya serta menyebar fitnah dan nista yang menyebabkan sengketa antara kita. Takutlah kepada Allah yang kepada-Nya kita akan kembali.

Semoga, kita dapat hidup dengan aman, harmoni dan sejahtera sehinggalah kita semua mati dalam keadaan yang baik dan di masukkan ke syurga Allah yang di dalamnya dijanjikan dengan kebahagiaan yang abadi.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.