Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenyataan Datuk Seri Ahmad Said sebaik selesai mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada hari Sabtu lalu mungkin mengejutkan banyak pihak. Ia nampak angkuh dan meroyan tak sedarkan diri. Tetapi ia mungkin sesuatu perkara yang biasa bagi rakyat Terengganu sentiasa mengikuti perkembangan serta kenyataan MB Terengganu tersebut.

 

Dalam kenyataannya yang dilaporkan Bernama , Ahmad berkata pembangunan akan diteruskan namun rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan yang tidak dimenanginya.

Kerajaan negeri hanya akan membina rumah tersebut di kawasan yang dimenangi BN, katanya.

Ini merupakan kenyataan politik berbaur provokasi dan sombong malah tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar MB. Tugas yang sepatutnya memastikan urus tadbir kerajaan negeri berjalan lancar dan kesemua rakyat dapat menikmati keharmonian secara bersama bertukar kepada kerelaan untuk rakyat membenci kerajaan dan bersedia menghadapi kejatuhan kerajaan yang hanya mendapat majoriti dua kerusi itu.

 

Dengan keyataan Datuk Seri Ahmad Said itu, dalam tidak sedar itu telah melukakan hati mereka yang setia bersama BN dan berada di kawasan yang dimenangi PAS.

 

Beliau jelas masih gagal untuk memahami perbezaan antara tugas kerajaan dan tugas parti. Sikap susah faham atau malas nak cuba faham ini mungkin boleh diterima jika ia datang dari seoarang pentaasub parti, tetapi ia sangat memalukan apabila keluar dari mulut seorang MB.

 

Hakikat sebuah parti politik hanyalah satu badan mereka yang bersatu untuk bersama membina kepentingan negara melalui prinsip-prinsip tertentu yang telah dipersetujui secara kolektif.

Kerajaan yang dibentuk pula menyediakan kemudahan untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Ianya dengan seruan Islam yang mewajibkan pemerintah paling tidak menyediakan tiga keperluan asas untuk rakyat iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.

 

Keengganan beliau untuk meneruskan pembinaan rumah mampu milik di kawasan yang tidak dimenangi oleh BN jelas menunjukkan bahawa beliau gagal memahami konsep keadilan yang merupakan tema paling utama di dalam Al-Quran.

Bagaimana mungkin bagi rakyat di bawah dapat memenuhi semangat ‘rakyat mengasihi kerajaan’ jika pemerintah di atas sendiri yang meniupkan api kebencian dan politik balas dendam.

Politik matang membentuk sistem politik dwi-parti yang berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang. Rakyat hanya perlu memilih antara parti yang lebih baik dan parti yang baik. Tetapi politik Datuk Seri Ahmad Said masih jauh ketinggalan di belakang yang menganggap sistem dwi-parti sebagai mekanisme balas-budi dan dendam kesumat lantas memaksa rakyat untuk membuat keputusan memilih antara parti yang bodoh sombong dan parti yang berfikiran terbuka.

 

Saya yakin rakyat Terengganu sangat mengharapkan agar beliau lebih berfikir secara praktikal. Politik kepartian sudah masanya untuk dihentikan. Beliau yang mewakili BN perlu melanggani konsep parti mengusai kerajaan secara lebih cermat dan teliti supaya urusan kerajaan negeri dan urusan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik.

 

Berhentilah dari mengeluarkan kenyataan dan melakukan tindakan yang jelas menggugat kewibawaan dan profesionalisme beliau sebagai menteri besar.

Biarlah ikhlas dalam berbakti, barulah kebencian rakyat dapat dihenti.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi   Malaysiakini.

ADS