Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Saya terharu melihat beberapa artikel yang ditulis oleh rakyat prihatin yang menyayangi perpaduan.

Antaranya artikel mengenai golongan miskin yang tinggal di kawasan pedalaman Sarawak, artikel mengenai pengalaman seorang rakan Cina yang menolong kawannya selaku pemantau PAS dalam pilihan raya baru-baru ini.

Begitu juga artikel mengenai anak muda Melayu yang menjelaskan bahawa pengundi Cina tidak membantah kerajaan Melayu. Beliau bimbang ada pihak yang salah terjemah maksud perdana menteri ketika beliau berkata "tsunami Cina" pada pagi selepas keputusan pilihan raya diperoleh.

Saya membaca secara hati terbuka, dan bangga kerana artikel-artikel tersebut disebarkan dengan sihat dan konstruktif. Saya turut berterima kasih kerana anda sanggup meluangkan masa dan minda untuk mendengar cerita mengenai secawan teh cina ais.

Sejak kecil, saya tinggal di kawasan perumahan Melayu (Ulu Klang) dan kebanyakan jiran tetangga saya dan "kaki-kaki" badminton serta bola-sepak saya berbangsa Melayu.

Saya juga satu-satunya pelajar Cina di kelas tuisyen jiran saya Cikgu Sa'onah. Dan selepas kelas beliau berkembang, saya mengikuti rakan-rakan saya bertuisyen di bilik yang disewa beliau di sebuah sekolah agama tempatan.

Walaupun saya menamatkan pengajaran rendah dan menengah di sekolah jenis kebangsaan Cina, serta pernah tinggal di kampung baru Cina (di Johor) ketika zaman tadika saya.

Saya bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan berbilang kaum, yang membolehkan saya menyesuaikan diri dengan senang apabila mula bekerja.

Cikgu yang paling digemari saya dan kawan-kawan baik saya ialah Cikgu Sazali Salleh yang sehingga kini amat saya hargai kerana "menegaskan" bahawa kami menguasai "peta minda".

Ini salah satu ilmu yang paling penting dalam hidup saya dan sehingga kini, saya gunakannya hampir setiap hari.

Dua orang adik saya (serta adik-adik kawan baik saya) turut menjadi murid Cikgu Sazali, dan kini masing-masing membiasakan diri bekerja di klinik kerajaan dan bank bumiputera kerana dapat menguasai bahasa Malaysia di bawah dorongan beliau.

Saya menulis artikel ini untuk membantu sedikit-sebanyak merapatkan pemahaman terhadap kebanyakan golongan Cina, mudah-mudahan selepas ini, anda boleh lebih memahami pendirian dan sikap-sikap kawan-kawan Cina anda, lalu dengan lebih mesra lagi silaturahim sesama diri.

Kita bertungkus-lumus demi mencari rezeki untuk menangani kos kehidupan yang tinggi. Jika dilihat, kebanyakan medan selera dan gerai makanan menjadi tumpuan pelanggan setiap pagi, tengah-hari dan malam.

Mungkin anda kurang biasa menziarahi kedai makanan atau minuman Cina, tetapi kalau ada peluang, anda boleh mendapati bahawa kebanyakan orang Cina terutamanya mereka yang bekerja keras atau kerja kasar (kontraktor, pekerja kilang dan pemandu) sering ditemani secawan teh Cina ais ketika menjamu selera. Adakah teh Cina begitu sedap dan berkhasiat? Bagi mereka yang tidak pernah cuba, teh Cina serupa teh o yang tidak ditambah gula; yang dijual di medan selera merupakan kualiti yang paling rendah sekali, justeru hanya RM0.40-RM0.50 secawan.

Ia merupakan minuman berperisa yang paling murah untuk menghapuskan dahaga. Dan betul, kebanyakan orang Cina telah biasa dengan rasa teh Cina ais, ada yang menggemarinya, namun kebaikan yang paling ketara- ia memang menjimatkan wang.

Jimat cermat

Kebanyakan orang Cina memang pandai kira-kira kerana sejak kecil, kami diajar supaya berjimat cermat dan menyimpan wang.

Sebab utama mengapa kebanyakan orang Cina pandai kira-kira adalah kerana penguasaan matematik asas dengan baik, kebanyakan mereka belajar di sekolah Cina.

Mengapa secara lazimnya, budak-budak Cina lebih mahir dalam matematik ialah kerana belajar matematik dalam bahasa Cina adalah lebih mudah berbanding Melayu dan Inggeris.

Sebab dari 1 hingga 10, kami hanya ingat digit yang singkat, contoh: satu dipanggil yi , sembilan jiu , tiga belas shi san . Sifar 9x9=81 (sembilan kali sembilan sama dengan lapan puluh satu) hanya disebut jiu jiu ba shi yi .

Dengan ini, sewaktu kecil, kami menghafal sifar seperti menghafal puisi dan ini amat membantu dalam kira-kira ketika membeli belah atau membuat akaun.

Sikap-sikap yang diamalkan sejak kecil, menjadikan kebanyakan golongan Cina suka kira-kira dan ini amat sesuai dengan mereka yang bekerja sebagai akauntan, juruaudit, jurujual atau berniaga.

Ia juga menjelaskan kenapa Cina suka menggunakan masa yang panjang untuk rundingan harga ketika membeli apapun daripada buah-buahan sehingga emas atau tanah.

Jadi, kalau ada rakan-rakan Cina yang suka berbanding harga, mohon maaf ya kerana ini sudah menjadi suatu budaya yang dibiasakan, saya pun tidak dikecualikan.

Sikap ingin berjaya

Kebanyakan datuk nenek kawan Cina anda berasal dari China dan kehidupan mereka susah pada zaman sebelum 1990.

Mereka bekerja keras supaya dapat membesarkan anak-anak dengan harapan mereka belajar sehingga menara gading, agar hidup senang kemudian.

Disebabkan dibesarkan dalam keluarga yang kurang berada, kebanyakan rakan Cina anda mempunyai cita-cita untuk berjaya yang tekad.

Mungkin bukan semua yang rajin berusaha, tetapi hampir semua rakan anda mengenali tokoh-tokoh peniaga Cina yang berjaya seperti Lim Goh Tong, Yeoh Tiong Lay dan Robert Kuok.

Ini kerana sejak kecil, ibu bapa atau/dan cikgu sekolah akan menceritakan sedikit sebanyak asal-usul penderma utama sekolah Cina.

Maka kami tahu mereka yang boleh menderma banyak kepada sekolah ialah jutawan dan mereka boleh menjadi jutawan sebab pandai dan rajin bekerja.

Itu sebab, ramai Cina berniaga atau kuat bekerja jurujual, ejen-ejen atau menjawat pelbagai kerja sampingan supaya mendapat rezeki yang lebih tinggi dan berjaya seperti tokoh-tokoh tersebut dan membanggakan keluarga yang miskin seketika dahulu.

Tokoh-tokoh di atas, juga, lazimnya mengamalkan sikap berjimat-cermat seperti yang dibincang tadi.

Sikap ingin belajar dan mencari peluang

Disebabkan tokoh-tokoh dan ibu bapa mementingkan pendidikan supaya kami lebih berilmu dan lebih berpeluang untuk mengubah taraf hidup kelak, kebanyakan budak-budak cina suka bertanding secara terbuka mahupun dalam hati sejak kecil seperti berapa A dicapai dalam UPSR, PMR, SPM.

Sejak kecil bertekad untuk mencapai cita-cita, walaupun ramai juga yang tidak berjaya. Mereka juga tahu peluang pekerjaan adalah lebih besar di ibu-kota dan bandar keliling.

Itu sebabnya, ramai menghuni di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Alor Setar, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Kulim, Kampar, Batu Pahat, Sibu, Miri dan Penampang.

Dan mereka yang pandai belajar biasanya bekerja sebagai profesional, pengurus syarikat, peniaga dan penasihat industri.

Oleh itu, kebanyakan rakan cina yang berjaya bukan dilahirkan bijak, tetapi sikap tidak mengalah dan ingin mengubahkan hidup yang mendorong mereka jatuh dan berdiri sehingga mencapai cita-cita.

Sikap ingin memiliki aset

Jangan hairan apabila melihat tauke-tauke besar minum teh Cina ais walaupun mereka sudah kaya-raya.

Ini kerana sejak kecil mereka membiasakan diri untuk menjimat wang supaya mengumpul modal untuk berniaga dan melabur.

Harta-benda yang dimiliki menjadi simbol kejayaan dan budak-budak cina diajar agar mengumpul aset dan kurangkan pembelian barangan mewah atau tidak diperlukan.

Itu sebabnya mungkin anda ada rakan yang menaiki kereta berusia 20 tahun, tetapi mempunyai beberapa buah rumah atau kedai.

Ini juga sebabnya mengapa "ah pek" atau "ah soh" yang tidak memakai pakaian berjenama sanggup beratur lama untuk membeli amanah saham wawasan yang terhad kuotanya untuk rakyat bukan bumiputera.

Sikap menyayangi nyawa

Selain bersedia untuk bekerja kuat sehingga menjejaskan kesihatan, kebanyakan Cina kurang ingin mengambil risiko nyawa dalam kehidupan harian.

Ini kerana mereka tahu tanggungjawab yang tinggi untuk keluarga dan kos perubatan yang tinggi sekiranya kemalangan berlaku (orang Cina lazimnya ada sedikit wang persediaan untuk digunakan di hospital persendirian).

Ini juga sebab mengapa anak-anak Cina kurang hendak bertugas sebagai polis atau askar, dan juga sebab mengapa kawasan perumahan berpagar dan berpengawal merupakan rumah impian kebanyakan orang Cina.

Rumusannya, rakan-rakan Cina anda mempunyai ciri-ciri tertulis di atas kerana ini telah menjadi cara hidup kami agar dapat keluar daripada kemiskinan dan ketakutan, dan memastikan generasi baru dapat hidup dengan lebih selesa.

Namun, rakan-rakan Cina anda juga ada ciri-ciri yang kontroversi (mungkin tabiat kurang baik) seperti:

  • Judi dan arak - sejenis hobi pada masa yang sama, sejenis cara sosial dalam bisnes yang panjang cerita namun, tidak menepati ajaran Muslim, oleh itu tidak dibincangkan.

  • Kurang fasih dalam bahasa - disebabkan tinggal di kawasan Cina maka bahasa kurang digunakan; kadang kala perkataan yang salah diguna.
  • Sikap tidak mengaku kalah - maka kadang-kala bertempur sesama diri dan orang lain.
  • Mengkategorikan golongan dalam masyarakat - ini sebenarnya sudah menjadi piawai sendiri untuk berjaya dalam masyarakat, oleh itu kadang-kala tanpa niat, mereka menghormati pegawai tinggi dan kurang bersopan dengan pegawai baru.
  • Pemahaman Cina terhadap rakan Melayu secara lazimnya, dirumuskan seperti berikut:

    • Sikap peramah terutamanya penghuni kawasan luar bandar. Setiap rakan Cina anda sentiasa melanggani seorang makcik peramah yang menjual nasi lemak kukus daun pisang.

  • Selalu menolong dan sikap suka memberi - gotong royong, derma kepada pengemis, kurang memotong harga (ini sebab utama peniaga Cina suka berniaga dengan Melayu).
  • Pentingkan keluarga - selalu mengemas rumah, berkelah, sering balik kampung dan ziarah-menziarahi.
  • Amalan penyayang - salam dengan orang tua; berjaya membesarkan lebih daripada tiga anak, dan membela anak-anak kucing.
  • Sesetengah yang kaya dan mempunyai banyak wang tunai, walaupun peniaga Cina sering tertanya-tanya macam mana boleh menjadi kaya sebegitu tetapi para peniaga paling suka golongan ini sebab berkemampuan untuk membeli barangan mewah.

    Hotel, kafe, kedai emas, kedai jam tangan, kereta mewah sentiasa bersedia menyambut kunjungan golongan bangsawan ini

    Dengan memahami ciri-ciri lazim kebanyakan rakan-rakan Cina anda, saya ingin berkongsi mengapa banyak orang Cina menyokong Pakatan Rakyat dan apa implikasinya:

    • Pendidikan - pembatalan PTPTN merupakan manifesto yang amat menarik.

  • Kos kehidupan - penurunan harga tol dan minyak (kebanyakan Cina menghuni di bandar yang berkos tinggi).
  • Penyelewengan - orang Cina jimat cermat, bayar cukai; tetapi wang disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, ini mengecewakan.
  • Sekatan perniagaan - tender tidak terbuka, atau lesen-lesen tertentu terhad kepada golongan tertentu sahaja; menjadi persoalan pengundi Cina. Namun, ada Cina yang bekerjasama dengan golongan tertentu sebagai penyelesaian.
  • keamaman dan ketenteraman, jaga kesihatan- banyak kes jenayah yang berlaku dan tidak sempat dicegah atau ditangani; ada juga pihak yang bukan merapatkan budaya tetapi mengapi-apikan isu yang bakal membawa keadaan ketidaktenteraman.
  • Hak keistimewaan- sebenarnya masyarakat Cina tidak mempersoalkannya, hanyalah kadang-kala kami mengingati sendiri supaya kena lebih gigih berusaha agar berjaya dalam pekerjaan.
  • Manifesto Pakatan yang memberi keyakinan kepada masyarakat Cina dan pemimpin-pemimpinnya seperti Nik Aziz Nik Mat, Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim sering sebulat suara supaya masyarakat bersatu padu tanpa membezakan budaya. Itu sebabnya sokongan PAS bertambah di kalangan bukan Muslim.
  • BN pula bakal menjelaskan lima persoalan penting yang masyarakat Cina tertanya-tanya; polisi memajukan negara walaupun penting untuk golongan Cina tetapi kebanyakan masyarakat Cina dariapda kelas pertengahan.

    Golongan ini masih tidak boleh mengetepikan isu kos hidup, kos pendidikan, kos keselamatan melainkan mereka yang telah menjadi tauke besar.

    Ada yang sudah berhijrah ke luar negara untuk mencari kehidupan memenuhi ciri-ciri di atas; ramai yang masih berpegang kewarganegaraan Malaysia dan sering balik untuk menziarahi sanak saudara sebab merindui kehidupan, pemandangan dan makanan yang sudah biasa sejak kecil; dan masih berharap Malaysia boleh maju (sikap tidak mengalah).

    Itu sebab mereka sanggup menanggung kos tinggi tiket penerbangaan dan ambil cuti untuk balik mengundi; ini bukan sebabnya untuk menyokong parti-parti politik, tetapi demi masa depan lebih baik untuk Malaysia

    Justeru, saya berharap bahawa lebih ramai rakan Melayu saya boleh memahami situasi yang dihadapi oleh kebanyakan masyarakat cina di tanah air kita ini.

    Perdana menteri belum sempat menjelaskan maksud "tsunami cina" yang disebut beliau di sidang media pada pagi 6 Mei lalu.

    Lantaran itu, kekeliruan antara orang ramai mungkin berlaku. Namun, yang pasti, kebanyakan pengundi Cina kian menjauhi MCA yang ditubuhkan untuk masyarakat Cina tetapi menyokong Pakatan.

    Ini dilakukan dengan pengetahuan bahawa ketua pemimpinnya ialah Anwar Ibrahim yang melaungkan perpaduan seluruh rakyat Malaysia tanpa membezakan keturunan.

    Bunga raya bunga rafflesia,

    warna-warninya keunikan kita;

    kita semua anak Malaysia,

    bersatu-padu membina negara.

    Sekarang tiba masa untuk teh Cina ais saya. Terima kasih.


    Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

    ADS