Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Kalah di Sabak Bernam, Khalid mesti tanggungjawab

Tan Sri Khalid Ibrahim wajib bertanggungjawab di atas kekalahan PKR di Parlimen Sabak Bernam. Ternyata rata-rata penggerak parti kecewa dengan kegagalan Pakatan di kawasan itu.

Apatah lagi kita mempunyai calon yang cukup berwibawa dan berkredibiliti tinggi, iaitu Prof Dr Aziz Bari.

Pakatan menang di DUN Sabak tetapi tewas terlalu besar di Sungai Air Tawar. Apa yang berlaku di Parlimen Sabak Bernam?

Aziz kalah 1,644 undi yang mana sebahagian besar daripada jumlah undi tewas ini datangnya dari DUN Sungai Air Tawar. Ini berkait dengan kegagalan Tan Sri Khalid untuk menyelesaikan isu tanah Sungai Tengar.

Saya telah melihat usaha dan tindakan segera yang diambil oleh Aziz. Beliau seorang ilmuwan, maka pastinya beliau akan sedaya upaya menurut saluran yang betul untuk menyelesaikan setiap masalah yang berlaku.

Makanya saya simpati dengan usaha beliau yang sia-sia biarpun telah memaklumkan masalah terbabit ke Pejabat Menteri Besar Selangor.

Tan Sri Khalid seakan pekak dan tuli. Masalah tidak selesai walhal turun bertemu dengan rakyat pun tidak mahu.

Isu tanah ini penting bagi orang Melayu khususnya di Sabak Bernam. Rata-rata masyarakat di sini Melayu yang tidak punya pendapatan tetap. Maka aset seperti tanah adalah sangat berharga.

Masalah tanah ini melibatkan 350 keluarga. Jika setiap keluarga ini ada 4 atau 5 undi maka sudah cukup untuk menafikan 1,400 undi untuk Pakatan.

Sebab itu, kami tidak terkejut apabila kekalahan PKR pada kali ini lebih teruk dari keputusan 2008. Di DUN Sungai Air Tawar PKR tewas 1,400 undi berbanding pada tahun 2008 kita cuma tewas 123 undi!

Saya berani menyatakan bahawa tanggungjawab yang berat akibat kekalahan ini harus dipikul oleh Khalid. Malah, beliau perlu memohon maaf kepada Aziz yang menjadi mangsa kebodohan politik beliau.

Bagaimana Pejabat Daerah Sabak Bernam boleh mengadakan majlis memulangkan wang yuran permohonan yang secara rasmi menolak permohonan hak milik tanah 350 buah keluarga tadi 2 hari selepas penamaan calon iaitu pada tarikh 22 April?

Jika Tan Sri Khalid bersabar dan tunggu selesai pilihan raya sebelum diadakan majlis tersebut, saya yakin Parlimen Sabak Bernam akan menang.

Namun, akibat kebodohan itu Aziz menjadi mangsa. Setiap hari di setiap pasar; baik pasar pagi atau pasar malam, Umno datang berkempen dengan pembesar suara dan memaki hamun dan mengutuk Aziz dan Wahid Rais selaku calon PAS DUN Sungai Air Tawar.

Jelas di kawasan yang majoriti Melayu begitu besar ini tindakan kerajaan negeri bawah pentadbiran yang tidak cerdik ini sukar dimaafkan kerana apa jua jawapan yang kita berikan, kita sudah laksanakan penarikan semula hak rakyat dan orang Melayu di Sabak Bernam.

Kegagalan ini cukup menyakitkan buat para jentera di Sabak Bernam ini. Hingga hari ini kami malu dan tidak punya kekuatan untuk berdepan dengan rakyat.

Ini juga dikeluhkan oleh beberapa sahabat di Parlimen Sepang. Bagaimana DUN Dengkil boleh tewas sedangkan Parlimen Sepang dan lain-lain DUN dibawahnya dimenangi oleh Pakatan Rakyat?

Malah, jika DUN Dengkil ini dimenangi PKR maka jumlah kerusi yang dimenangi PKR kini pasti berjumlah 15 kerusi dan ini pastinya memperkukuh kedudukan Khalid sendiri selaku menteri besar.

Di DUN Dengkil ini kisahnya lebih kurang sama juga. Bantuan banjir kepada hampir 700 keluarga dari Kampung Bukit Changang, Kampung Labohan Dagang dan Kampung Olak Lempit yang dijanjikan Khalid pada bulan Disember 2012 masih gagal ditunaikan beliau.

Jika Umno boleh serah bantuan banjir sebelum air surut, mengapa kerajaan negeri gagal berbuat demikian. Birokrasi melampau ini wajar dihentikan segera.

Janji tinggal janji dan rakyat tidak beri undi sedangkan kita berdepan dengan calon Umno yang begitu lemah iaitu anak kepada mantan tokoh Umno Selangor Datuk Sharif Jajang.

Harapan kita, selepas mandat baru ini Khalid perlu dinasihatkan oleh orang yang betul. Negeri Selangor ini tidak boleh ditadbir secara korporat. Lewat sehari tidak bererti keuntungan rendah atau berdepan kerugian.

Akan tetapi kesannya kepada rakyat serta persepsi lebih penting untuk politik kerana akhirnya Khalid bukan lagi mahu menjadi tokoh korporat tetapi menjadi ahli politik.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS